SIBU: Sebanyak 400 kerusi plastik dan 80 kipas siling telah disumbangkan oleh Lembaga Pelawat Hospital Sibu kepada hospital tersebut di sini, semalam.
Pengerusi Lembaga Pelawat, Michael Lee berkata, sumbangan ini bertujuan meningkatkan keselesaan pesakit serta petugas kesihatan.
“Kerusi penjaga pesakit yang lama sudah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi, oleh itu kami mengambil inisiatif untuk menggantikan dengan kerusi baharu,” katanya ketika majlis penyerahan simbolik tersebut.
Sumbangan tersebut diserahkan secara simbolik oleh Lee kepada Matron Alice Lawet dari Unit Kejururawatan Hospital Sibu, disaksikan oleh Penolong Pengarah Hospital Sibu, Tiong Hwa Nguong.
Lee menambah, kipas siling baharu turut diberikan bagi menggantikan kipas lama yang sudah tidak berfungsi.
“Kipas ini amat diperlukan kerana pesakit dan petugas sering mengalami kepanasan di beberapa kawasan hospital,” katanya.
Lee berharap sumbangan ini akan memberi manfaat kepada semua pihak yang memerlukan dan menunjukkan usaha berterusan Lembaga Pelawat dalam menyokong kebajikan hospital.
Oleh Tarani Lanting