
KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 81 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian sebuah dompet yang mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai di kawasan GalaCity, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu lelaki berhubung kejadian itu kira-kira 4.49 petang pada Isnin lalu.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis berjaya menahan suspek kira-kira 11.45 pagi pada semalam serta merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif dadah
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga barang peribadi dan tidak meninggalkan barangan berharga tanpa pengawasan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku.
Oleh Connie Chieng