SIBU, 9 Oktober: Seorang lelaki berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret Sarikei hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut ibu kandungnya menggunakan sebilah pisau di Kampung Bawang, Matu.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, tertuduh sebelum itu ditahan polis selepas disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dalam kejadian di kampung berkenaan.
Menurutnya, ketika kejadian, suspek mengamuk dengan mencekik dan menutup mulut mangsa sebelum mengambil sebilah pisau dapur serta cuba menikam ibunya.
“Suspek yang dipercayai berada dalam keadaan khayal disyaki di bawah pengaruh dadah turut bertindak agresif ketika pihak polis cuba melakukan tangkapan.
“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro dengan bantuan anggota Balai Polis Matu,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Rahim berkata, penahanan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama empat hari dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Pada hari ini (9 Oktober) suspek telah dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Sarikei.
“Tertuduh mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibuat dan dijatuhi hukuman penjara selama 16 bulan penjara bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan. Tertuduh menjalani hukuman di Penjara Sibu,” ujarnya.
Oleh Akun Giman





