
KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun kerugian RM117,600 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran tender secara dalam talian membabitkan pembekalan kerusi dan meja untuk kantin sekolah.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurut beliau, pada 20 Mei lalu sekitar 9.30 pagi, mangsa berada di sebuah kedai kopi di Jalan Padungan sebelum menerima pesanan WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menawarkan tender membekal kerusi dan meja untuk kantin SMK Siburan.
“Mangsa kemudiannya diberikan beberapa nombor telefon pembekal bagi memudahkan urusan tempahan dilakukan,” katanya.
Alexson berkata, mangsa telah membuat lima transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun bank berbeza pada hari sama berjumlah RM117,600 bagi tujuan tempahan barangan tersebut.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas pergi ke SMK Siburan dan dimaklumkan bahawa pihak sekolah tidak pernah membuat tempahan seperti yang dinyatakan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda.
Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak panik apabila menerima panggilan atau pesanan mencurigakan dan segera menamatkan perbualan tersebut.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada individu tidak dikenali serta menghubungi balai polis berhampiran untuk membuat semakan atau laporan.
Katanya, orang ramai juga disaran menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon mencurigakan menerusi portal rasmi Semak Mule.
Sebarang pertanyaan atau aduan boleh disalurkan melalui talian hotline JSJK Sarawak di 011-62890089, e-mel kjsjkswk@rmp.gov.my atau hotline National Scam Response Center (NSRC) 997 yang beroperasi 24 jam.