
MIRI: Tindakan lelaki tempatan dipercayai mencuri beg sandang mengandungi barangan serta dokumen peribadi membawa padah apabila diberkas polis di Kampung Bungai, Bekenu, semalam.
Polis Daerah Miri menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, suspek ditahan kira-kira 11.30 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri bersama anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Miri.
Menurutnya, tangkapan dilakukan susulan laporan polis berhubung kehilangan beg sandang milik mangsa di Pejabat Son Soon Enterprise, Padang Kerbau, di sini.

“Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas semula telefon pintar jenis iPhone 15 Pro Max yang dipercayai dicuri suspek untuk dijadikan barang kes.
“Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis.
Oleh Liong Chai Ling