
SARATOK: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian dua unit bateri serta kira-kira 100 liter minyak diesel daripada sebuah jentera berat di Jalan Temudok Awik, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji di kawasan Lubuk Renit Awik, Saratok.
Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada penyelia sebuah syarikat kontraktor pada awal pagi tadi selepas kehilangan bateri dan diesel daripada jentera jenis Hitachi Hydraulic Excavator EX70LCK yang digunakan untuk kerja pembaikan saliran.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada Selasa lepas apabila pekerja syarikat mendapati dua unit bateri dan minyak diesel milik jentera yang diletakkan di tepi jalan telah hilang, menyebabkan kerugian dianggarkan sekitar RM1,000.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama seorang lagi rakan yang masih bebas.
“Suspek mengaku membuka bateri menggunakan spanar sebelum menyedut minyak diesel daripada tangki jentera menggunakan corong dan hos ke dalam tong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis turut merampas satu unit bateri jenama Super Charge Batteries, dua tong berisi cecair disyaki minyak diesel serta sebuah corong besi bersama hos yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Siasatan juga mendapati barangan yang dicuri disembunyikan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah panjang di Lubuk Renit Awik sementara menunggu pembeli.
DSP Mathew berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine serta mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan atau komponen berkaitan.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan sehingga semua individu yang terbabit berjaya diberkas.
Oleh Adi Safarman





