
VIENNA, Austria: Seorang lelaki berusia 21 tahun mengaku bersalah semalam di sebuah mahkamah di Austria atas pertuduhan merancang serangan terhadap konsert Taylor Swift, yang menyebabkan pembatalan persembahan jelajah ‘Eras’ di Vienna oleh penyanyi terkenal dari Amerika Syarikat itu.
Tiga tarikh dalam jelajah Swift yang mencatat rekod tersebut dibatalkan pada musim panas 2024 selepas pihak berkuasa memberi amaran tentang dakwaan rancangan serangan tersebut.
Tertuduh yang dikenali sebagai Beran A. dibawa masuk ke bilik mahkamah oleh anggota polis bertopeng pada permulaan perbicaraan atas kesalahan keganasan dan pertuduhan lain di sebuah mahkamah di Wiener Neustadt, di luar Vienna.
“Dia mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan kecuali cubaan membunuh,” kata peguamnya, Anna Mair, kepada AFP.
Seorang lagi lelaki berusia 21 tahun, Arda K., turut dibicarakan bersama Beran A., menurut agensi berita Austria, APA.

Beran A. didakwa merancang serangan di Stadium Ernst Happel di Vienna semasa konsert Swift yang dijangka dipenuhi penonton.
Beliau memberi keterangan di mahkamah bahawa dia belum merangka pelan yang jelas bagi serangan tersebut sebelum ditangkap pada Ogos 2024, dua hari sebelum konsert berlangsung.
Perbicaraan kedua-dua tertuduh dijadualkan berlangsung dalam empat sesi mahkamah sehingga 21 Mei.
Beran A., yang ditangkap dua hari sebelum konsert pertama Swift dijadualkan berlangsung, berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Plot serangan terhadap konsert tersebut berjaya digagalkan dengan bantuan risikan Amerika Syarikat.
Swift kemudian menulis di media sosial bahawa “sebab pembatalan itu menimbulkan rasa takut baharu dalam dirinya, serta rasa bersalah yang mendalam kerana begitu ramai yang telah merancang untuk menghadiri konsert tersebut.”
Tahun lalu, sebuah mahkamah di Berlin mensabitkan seorang remaja Syria atas kesalahan menyumbang kepada plot serangan konsert Swift.
Remaja berusia 16 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 18 bulan secara tertangguh. – AFP