
KUALA LUMPUR: Filem Libang Libu yang sedang ditayangkan di pawagam disifatkan sebagai naskhah santai yang bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi ruang kepada penonton untuk melepaskan tekanan dalam suasana semasa yang penuh cabaran.
Pelakon filem berkenaan, Beto Kusyairy berkata, maklum balas setakat ini menunjukkan penonton bukan sahaja terhibur dengan pendekatan komedi yang sarat elemen kekeluargaan, persahabatan dan kritikan sosial, malah meninggalkan pawagam dengan perasaan yang lebih lapang.
“Di kala ini, kalau kita tengok situasi dunia dengan macam-macam perihal, perang, isu harga barang dan macam-macam yang memberatkan, mungkin filem Libang Libu ini jadi medium untuk orang lepaskan tekanan.
“Banyak yang datang kata sebelum menonton fikiran mereka berat tetapi keluar dengan rasa lebih lapang, lebih rileks dan santai. Itu yang kita nak, nak orang rasa seronok,” katanya selepas sesi temu bual khas di sini hari ini.
Beliau dan barisan produksi turut berasa terharu melihat sambutan penonton, khususnya ketika siri jelajah di Perak yang disifatkan seperti pesta apabila ramai peminat hadir bersama keluarga.
“Kami agak terkejut dengan sambutan yang luar biasa. Bila pergi jelajah, khususnya di Perak, panggung dah macam satu pesta. Penonton hadir bersama keluarga, terutamanya membawa mak ayah mereka, termasuk yang sudah lama tidak ke panggung serta warga emas berkerusi roda dan bertongkat,” katanya.
Beto ketika mengulas kandungan filem itu berkata, ia bukan sekadar menyajikan hiburan komedi, sebaliknya turut mengangkat pelbagai kritikan sosial yang mencerminkan realiti kehidupan masyarakat dengan watak-watak yang dibina berdasarkan individu yang wujud dalam kehidupan seharian.
“Filem itu adalah cerminan kepada masyarakat. Watak-watak seperti Along, Man Filem dan lain-lain itu sebenarnya wujud di sekeliling kita, dengan kritikan sosial disampaikan secara santai tanpa terlalu ‘berdakwah’,” jelasnya.
Filem Libang Libu adalah naskhah sulung arahan Bobby Husaini yang sebelum ini lebih dikenali dalam dunia periklanan selama lebih dua dekad.
Turut dibintangi Amerul Affendi dan Nabila Huda serta menjalani penggambaran di Perak, filem berkenaan mengangkat kisah masyarakat setempat menerusi pendekatan komedi yang santai dengan latar konflik keluarga.
Setiap pelakon memahami peranan masing-masing dan saling menyokong bagi memastikan setiap babak dapat disampaikan dengan berkesan.
Dalam pada itu, Beto berkata, pendekatan itu memberi ruang kepada penonton menilai sendiri tanpa dipaksa, selain diharap dapat membuka perspektif masyarakat agar tidak mudah menghukum orang lain.
“Kami bukan mahu bersaing atau menonjolkan diri tetapi menjadikan Libang Libu sebuah karya yang boleh diterima penonton dan menghiburkan,” katanya. – Bernama