BINTULU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Bulatan Selungun, Samalaju di sini malam tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 malam, sebelum sebuah jentera bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kenderaan tersebut terbabas sejauh 70 meter dari jalan raya, melibatkan dua mangsa lelaki.
“Seorang mangsa dikenali sebagai ditemukan tidak sedarkan diri dan tercampak keluar dari kenderaan.
“Mangsa terbabit seterusnya disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM),” menurut kenyataan itu.
Seorang lagi mangsa berusia 22 tahun dilaporkan mengalami kecederaan pada anggota badan tetapi berjaya keluar sendiri dari kenderaan.
Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa yang maut menggunakan pengusung sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa yang cedera pula dihantar ke hospital oleh pihak KKM untuk mendapatkan rawatan.