Lelaki maut, seorang cedera dalam nahas lori ikan dan Ativa di Lebuh Raya Pan Borneo

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
SEORANG lelaki maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa ikan sejuk beku dan sebuah kereta Perodua Ativa di pusingan-P, Lebuh Raya Pan Borneo dekat Jelukong, malam tadi. Foto: PGO Bomba Sarawak

BETONG: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa ikan sejuk beku dan sebuah kereta Perodua Ativa di kawasan pusingan-P, Lebuh Raya Pan Borneo dekat Jelukong, malam tadi.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan 10.00 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergegas ke lokasi yang terletak sekitar 32 kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK II Mosihi Buang berkata, setibanya pasukan bomba 10.31 malam, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori membawa ikan sejuk beku dan sebuah Perodua Ativa.

SEORANG lelaki maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa ikan sejuk beku dan sebuah kereta Perodua Ativa di pusingan-P, Lebuh Raya Pan Borneo dekat Jelukong, malam tadi. Foto: PGO Bomba Sarawak

Beliau berkata, dua lelaki terbabit dalam nahas itu dengan seorang mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat, manakala seorang lagi didapati tersepit di bahagian tempat duduk hadapan sebelah kiri kenderaan.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohamad Syakir, 26, manakala Mohd Syahmi, 24, mengalami kecederaan.

SEORANG lelaki maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori membawa ikan sejuk beku dan sebuah kereta Perodua Ativa di pusingan-P, Lebuh Raya Pan Borneo dekat Jelukong, malam tadi. Foto: PGO Bomba Sarawak

Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun mangsa disahkan meninggal dunia sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut, sementara mangsa yang cedera menerima rawatan sewajarnya.

Operasi yang membabitkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah Toyota Hilux itu turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi sebelum ditamatkan 10.47 malam selepas keadaan disahkan selamat.

Oleh Adi Safarman