SIBU: Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dan Perodua Kancil di kawasan berdekatan bulatan Jalan Sibu-Bintulu di sini, pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, mangsa,61, pemandu Perodua Kancil telah disahkan maut di lokasi kejadian.
Kematian mangsa disahkan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
Mangsa kedua, juga seorang lelaki,62, pemandu Toyota Land Cruiser, hanya mengalami kecederaan ringan.
“Mangsa yang berada dalam kereta Perodua Kancil tersepit di kedudukan pemandu telah disahkan meninggal dunia.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan Resque Tool untuk memotong serta membuka pintu untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis.
“Sementara, pemandu Land Cruiser yang mengalami kecederaan ringan telah dihantar ke hospital,” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, pihaknya menerima panggilan 11.20 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dikerahkan ke lokasi kejadian.
Oleh AKUN GIMAN