BINTULU: Lelaki berusia 66 tahun maut selepas van sekolah yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van pekerja di Batu 15, Jalan Pan-Borneo Bintulu-Miri, malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tangan.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.06 malam.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua van iaitu sebuah van pekerja yang membawa sembilan penumpang dan sebuah van sekolah dengan 15 penumpang.
“Bagaimanapun, hanya empat mangsa masih berada di lokasi, manakala 21 yang lain telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum bantuan tiba,” katanya.
Pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) memberi rawatan awal kepada tiga mangsa yang masih berada di lokasi sebelum membawa mereka ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.
Sementara pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan van sekolah.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.