
MUKAH: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira 10.30 pagi di dalam tandas sebuah stesen minyak di sini.
“Pemeriksaan yang dijalankan menemukan satu keratan tiub straw lutsinar dan satu keratan tiub straw berwarna merah jambu yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu dalam simpanan suspek.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.54 gram. Suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit direman selama empat hari sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau menegaskan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah komited dalam usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya menerusi talian 084-871222 atau ke mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.
Oleh Akun Giman