KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian terjun dari Jambatan Darul Hana, Tebingan Kuching yang rakaman videonya tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuching di Jalan Sekama, di sini, kira-kira 10.00 malam tadi.

Tangkapan dibuat susulan siasatan berhubung kejadian yang dilaporkan pada Khamis lalu selepas rakaman video berdurasi 28 saat memaparkan seorang individu terjun dari Jambatan Darul Hana tular di media sosial, katanya menerusi kenyataan media rasmi PDRM hari ini.
“Hasil siasatan mendapati kejadian sebenar berlaku pada 24 Julai, kira-kira 10.30 malam, apabila suspek bertindak terjun dari jambatan selepas dicabar oleh individu lain.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, manakala saringan awal ujian air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan secara gopoh sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Alexson menasihati orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan nyawa sendiri atau keselamatan orang lain.
Tegasnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Aliff di talian 013-3115854.
Oleh Afiq Sallehi





