
TANJUNG MANIS: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai berhampiran Jeti Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.56 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis digerakkan ke lokasi kejadian.
“Maklumat awal daripada saksi memaklumkan bahawa mangsa dipercayai dalam perjalanan kembali ke kapal pukat tunda untuk berehat selepas bergaul bersama rakan sekerja.
“Ketika menuruni jeti menuju ke kapal, mangsa dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai,” menurut kenyataan JBPM.
Mangsa dikenali sebagai Tan San Belati, 40, dari Rumah Lambai, Sungai Mapai, Kanowit. Ketika kejadian, beliau dilaporkan kali terakhir dilihat memakai seluar jeans pendek dan baju biru berkolar.
Cubaan awal oleh rakan sekerja untuk mencari mangsa gagal, sebelum kejadian dimaklumkan kepada pengawal keselamatan dan laporan polis dibuat.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada 9.00 pagi dengan pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh. Namun begitu, mangsa masih belum ditemui setakat ini.
Operasi SAR masih diteruskan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Oleh Tarani Lanting