SIBU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki berusia 42 tahun membela diri atas pertuduhan menyeludup dadah seberat 75.52 gram pada 2022.
Hakim Wong Siong Tung membuat keputusan itu terhadap Jeffry Lepa selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Jeffery didakwa menyeludup dadah jenis methamphetamine seberat 75.52 gram di sebuah tempat letak kereta di Lorong Tun Ahmad Zaidi di sini pada 3 petang, 26 November 2022.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, dia boleh dihukum sebatan tidak kurang daripada 15 kali sebatan.
Jeffry yang diwakili oleh dua peguamnya iaitu Jacob Wong dan Jessie Wong, akan hadir semula di mahkamah untuk membela dirinya pada 24 Januari 2025.
Dalam hujahan bertulisnya, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mark Kenneth Netto, menyatakan bahawa tertuduh telah mengemukakan lapan isu dalam pembelaannya.
Namun, beliau berhujah bahawa isu-isu tersebut tidak mencukupi untuk menangkis kes prima facie yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Oleh TARANI LANTING