
KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun selepas merampas pil Erimin 5 dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM1,086 dalam satu serbuan di Jalan Sultan Tengah, Santubong.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Santubong pada kira-kira 9.15 malam, 23 Julai.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui 48 biji pil Erimin 5 seberat 15.67 gram serta 1.15 gram disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan turut mendapati suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, suspek juga akan dituduh di bawah Seksyen 39C(2) akta sama kerana kesalahan penggunaan dadah secara berulang.
Beliau berkata kejayaan tangkapan itu adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah diminta menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng





