SKRANG: Misteri kehilangan seorang lelaki berusia 58 tahun yang keluar berburu di kawasan hutan di Rumah Rebicca Lipat Ulu Skrang, di sini, berakhir apabila mangsa ditemui selamat pada pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa, Mangka Enting, 58, ditemui penduduk kampung selepas berjaya keluar sendiri dari kawasan hutan.
Menurut JBPM Sarawak, mangsa sebelum ini dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kawasan hutan untuk berburu kira-kira 9.00 pagi pada Khamis lalu.

Kehilangan mangsa kemudian disedari keluarganya sebelum usaha pencarian dilakukan bersama penduduk rumah panjang di kawasan sekitar.
Bagaimanapun, mangsa gagal ditemui pada hari pertama pencarian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari kedua sebelum pihak bomba menerima makluman kira-kira 8.50 pagi bahawa mangsa telah berjaya keluar sendiri dari kawasan hutan.
Mangsa kemudiannya ditemui penduduk kampung di Tanjung Kemiding, Lipat, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi pencarian, ketika berada di sebuah pondok di tepi jalan raya.

Mangsa kemudian diserahkan kepada ahli keluarga dan pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Betong menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Operasi diketuai PBK I Syahrulnizam Su’ai bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dengan sebuah kenderaan Hilux.
Operasi turut membabitkan lapan anggota PDRM Skrang, lapan anggota APM Lubok Antu serta kira-kira 20 penduduk kampung. Operasi ditamatkan pada 10.00 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
Oleh Adi Safarman



