


LOS ANGELES: Bekas juara heavyweight dunia, George Foreman yang bertarung dan tewas kepada Muhammad Ali dalam perlawanan ikonik ‘Rumble in the Jungle’ pada tahun 1974 sebelum merampas semula gelaran itu dua dekad kemudian, meninggal dunia, hari ini pada usia 76 tahun, menurut kenyataan keluarganya.
“Dengan penuh kesedihan, kami mengumumkan pemergian insan tersayang, George Edward Foreman Sr, yang meninggalkan kita dengan tenang pada 21 Mac 2025, dikelilingi oleh keluarga dan insan tersayang,” kata keluarganya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi bekas petinju itu.
“Kami amat menghargai limpahan kasih sayang dan doa daripada semua, serta memohon agar privasi kami dihormati ketika kami sedang mengenang kehidupan luar biasa seorang insan yang sangat kami kasihi,” kata kenyataan itu lagi.
Dilahirkan di Texas pada 10 Januari 1949, Foreman dibesarkan di Houston dalam keadaan sukar dan bapanya yang membesarkannya sering mabuk dan jarang berada di rumah.
Malah, Foreman hanya mengetahui bahawa J D Foreman bukan bapa kandungnya selepas dia memenangi kejuaraan heavyweight dunia, apabila bapa kandungnya – seorang veteran perang dunia kedua – menghubunginya.
Ketika remaja, Foreman terjebak dengan jenayah dan berhenti sekolah pada usia 16 tahun.
“Pada usia 13 tahun, George sudah setinggi 6 kaki 2 inci dan seberat 200 paun, serta menjadi ‘pengganas’ di kawasan kejiranannya,” kata adiknya, Roy Foreman, kepada BBC pada 2024.
“Apabila anda lebih besar dan kuat serta rasa diri lebih hebat daripada orang lain, anda mula mengambil apa sahaja yang anda mahu,” katanya lagi.
Namun, pada usia 16 tahun, Foreman mencuba nasib dalam sukan tinju.
“Saya sebenarnya mahu menjadi pemain bola sepak. Saya cuba tinju hanya untuk menunjukkan kepada rakan-rakan bahawa saya tidak takut.
“Tetapi, selepas 25 perlawanan dan hanya setahun kemudian, saya sudah menjadi pemenang pingat emas Olimpik,” kata Foreman di laman web rasminya.
Di Sukan Olimpik Mexico 1968, Foreman yang baru 19 tahun menumbangkan lawannya untuk memenangi pingat emas kategori heavyweight. – AFP