
SIBU: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyemak semula kandungan buku teks sejarah di sekolah supaya fakta mengenai sejarah Sarawak dan pembentukan Malaysia dipersembahkan dengan lebih tepat.
Beliau berkata, generasi muda perlu didedahkan kepada fakta sejarah yang betul, terutama berkaitan kedudukan Sarawak sebagai salah satu rakan yang membentuk Malaysia.
“Kita berharap sejarah-sejarah ini akan dimasukkan dalam buku sejarah, khasnya sejarah yang diajar di sekolah-sekolah supaya buku sejarah mengandungi sejarah yang betul.
“Kita berharap Kementerian Pendidikan akan menyemak sejarah-sejarah ini supaya sejarah yang betul diajar dan dipelajari oleh rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Sejarah Hari Sarawak 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, hari ini.
Lee berkata, antara perkara yang perlu difahami ialah Sarawak tidak ‘bergabung dengan Malaysia’, sebaliknya bersama Malaya, Singapura dan North Borneo (Borneo Utara) membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963.

“Adalah tidak betul untuk mengatakan Sarawak bergabung dengan Malaysia. Kita membentuk Malaysia bersama tiga rakan kongsi lain, iaitu Malaya, Singapura dan Borneo Utara,” katanya.
Menurut beliau, pameran berkenaan menghimpunkan bahan sejarah bermula dari era Kesultanan Brunei, pemerintahan Rajah Brooke, pendudukan Jepun, pentadbiran British sehingga Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963.
“Tarikh tersebut merupakan detik penting apabila pentadbiran British menyerahkan kuasa kepada rakyat Sarawak, sekali gus membawa kepada pembentukan kabinet pertama negeri yang dipimpin Ketua Menteri pertama, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan,” jelasnya.
Lee berkata, pameran itu juga memaparkan dokumen berkaitan pembentukan Malaysia bagi memberi kefahaman yang lebih tepat kepada orang ramai mengenai sejarah negara.
Justeru, beliau berharap lebih ramai rakyat Sarawak, khususnya pelajar sekolah, mengunjungi pameran itu untuk memahami sejarah negeri dengan lebih mendalam serta menghargai perjalanan Sarawak sebelum dan selepas pembentukan Malaysia.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan, Setiausaha Tetap bagi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Dzulkornain Masron, Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting dan yang lain.
Oleh Tarani Lanting




