BUENOS AIRES: Lionel Messi meledak hatrik membantu juara dunia Argentina membelasah Bolivia 6-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan pagi tadi.
Pemain berusia 37 tahun itu mengingatkan ramai mengenai kualitinya dengan tiga penamat klinikal, dua umpanan gol dan beberapa sentuhan magisnya sepanjang perlawanan ketika pasukan kendalian Lionel Scaloni mendominasi saingan.
Pemenang anugerah Ballon d’Or lapan kali itu membuka tirai jaringan pada minit ke-19 apabila Lautaro Martinez merampas bola daripada pertahanan Bolivia, Marcelo Suarez, sebelum menghantar kepada Messi yang mudah merembat masuk ke penjuru gol.
Penyokong tuan rumah di Stadium Monumental kembali ceria pada minit ke-43 apabila Julian Alvarez melakukan hantaran cemerlang kepada Messi, yang kemudiannya mengumpan kepada Martinez untuk menyudahkannya.
Tiga minit kemudian, Alvarez sendiri menjaringkan gol apabila Bolivia alpa ketika satu sepakan percuma, Messi melambungkan bola ke arah gol sebelum disudahkan penyerang Atletico Madrid itu.
Selepas rehat, tandukan Nicolas Otamendi dibatalkan kerana ofsaid namun peminat tuan rumah tidak menunggu lama bagi gol keempat apabila Thiago Almada merembat masuk hantaran Nahuel Molina.
Gol klasik Messi menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-84 – penyerang Inter Miami itu menggelecek di kawasan tengah sebelum merembat masuk dengan kaki kanan ke penjuru bawah gol lawan.
Dua minit kemudian dan sesetengah penyokong menangis selepas Messi menyelinap dari sebelah kanan, bermain hantaran satu dua dengan pemain gantian Nico Paz sebelum sekali lagi menewaskan penjaga gol Guillermo Viscarra.
Argentina menghuni tangga teratas carta 10 negara dengan 22 mata daripada 10 perlawanan – tiga mata di depan pasukan tangga kedua Colombia, yang turut menikmati kemenangan besar 4-0 ke atas Chile di Barranquilla. – AFP