BKSS 9.0…. Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pakej baharu Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 di Wisma Bapa Malaysia di Kuching, semalam. Turut kelihatan, (dari kiri) Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian (dua), Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tiga), Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (lima) Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki (dua, kanan) dan yang lain.
KUCHING: Pelaksanaan pakej baharu Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 adalah lanjutan daripada diskaun yang ditawarkan di bawah pakej BKSS sebelum ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, lebih 685,000 pengguna di seluruh Sarawak akan terus menikmati diskaun bil elektrik dan air selama enam bulan lagi sehingga akhir Disember 2022.
“Kerajaan Sarawak akan meneruskan inisiatif memberikan diskaun lima hingga 25 peratus bagi bil elektrik bermula Julai hingga Disember 2022.
“Jumlah kos diskaun bil elektrik ini berjumlah RM201.76 juta dan ia akan dibiayai oleh kerajaan GPS Sarawak.
“Manakala, pengguna domestik akan menikmati 25 peratus diskaun pada bil bulanan mereka, diikuti dengan perniagaan komersial biasa (15 peratus), industri I1 dan I2 (10 peratus), dan Industri I3 (5 peratus),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media khas Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKKS) 9.0 di sini, semalam.
Sementara itu, bagi bil air, diskaun 10 hingga 25 peratus akan dikenakan untuk pengguna domestik, komersial dan industri, melibatkan kos keseluruhan RM35.34 juta.
“Pengguna domestik akan menikmati 25 peratus diskaun bil bulanan, manakala perniagaan komersial 15 peratus dan sektor perindustrian 10 peratus,” ujarnya.
Sementara itu, Premier Sarawak berkata setakat Jun 2022, kadar inflasi di Sarawak meningkat 3.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
BKSS 9.0 yang berjumlah hampir RM1.0 bilion meliputi lima inisiatif untuk tempoh enam bulan dari Julai hingga Disember 2022.
Tiga lagi inisiatif lain ialah 25 peratus diskaun ke atas kadar taksiran, 50 peratus diskaun untuk sewa gerai, dan tambahan bahan binaan di bawah khas peruntukan untuk Variasi Harga (VOP) 2.0.
Beliau turut berkata, keputusan untuk menyambung pemberian bantuan BKSS 9.0 adalah untuk membantu meringankan beban rakyat Sarawak yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup terutama mereka yang berpendapatan rendah.
Oleh AZREEN KERIA