MUKAH: Lebih daripada 30 tan beras akan dan telah diagihkan kepada keluarga yang memerlukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian.
Menurut Ahli Dewan Undangannya, Yussibnosh Balo, jumlah itu merupakan fasa pertama bantuan berupa makanan asas itu kepada penduduk yang terlibat.
“Untuk fasa pertama kita telah mengenalpasti 3,041 buah rumah dan pintu rumah panjang yang akan menerimanya. Ia adalah terdiri daripada 1,608 buah rumah di kampung-kampung, dan 1,433 pintu di rumah panjang. Sebuah rumah atau satu pintu akan menerima sekampit beras seberat 10 kg,” ujarnya.
Katanya, pengagihan telah bermula pada 1 April dan dilaksanakan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) N.57 Tellian.
“Selain itu, kita juga mengagihkan bantuan berupa makanan dalam bakul kepada 351 penerima yang terdiri daripada OKU dan sakit. Food Basket yang bernilai RM50,000 ini merangkumi beras lima kg, gula, minyak masak, tepung dan mi,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menyaksikan penyerahan beras kepada penerima di Dewan Kampung Tellian Tengah pada petang Khamis (2 April).
Wakil rakyat ini juga mendedahkan kemungkinan pada fasa kedua nanti mereka mungkin mengguna kaedah lain cara pengagihannya.
“Agihan fasa kedua nanti kita mungkin memikirkan kaedah lain untuk mengagihkannya dan dalam bentuk food basket sahaja. Dan di dalam masa yang sama, hanya beberapa orang sahaja dalam satu masa. Malah, pada fasa pertama ini kita telah menasihati mereka untuk sentiasa mematuhi penjarakan semeter,” ujarnya lagi.
Menyentuh mengenai senarai-senarai nama penerima, ujarnya, mereka memperolehinya daripada pihak-pihak yang berkaitan.
“Kita percaya senarai ini adalah pada kumpulan yang disasarkan dan jikalah ada sedikit kekurangan atau ‘loophole’ dari segi itu, saya percaya fasa kedua kelak ia akan dapat dikenalpastikan, dan apatah lagi seandainya ia dilanjutkan ke fasa ketiga kelak perkara sasaran mungkin tidak jadi masalah lagi,” katanya lagi.
Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan tambahan RM16.4 juta bagi bantuan kepada rakyat golongan sasar di negeri ini yang terjejas teruk akibat Perintah Kawaln Pergerakan (PKP), dan RM200,000 untuk sebuah DUN. PKP fasa pertama tamat pada 31 Mac 2020 dan fasa kedua yang bermula 1 April dijangka tamat pada 14 April ini.