Lebih 2,400 sertai Larian Santai, Jalan Santai sempena Program SKS Bahagian Sarikei 2026

Facebook
WhatsApp
DATUK Abdullah Saidol senamrobik bersama para peserta.

SARIKEI: Seramai 2,485 peserta membanjiri Kompleks Sukan Sarikei bagi menyertai acara Larian Santai 5 kilometer (km) dan Jalan Santai 3km sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sarikei 2026, hari ini.

Program dimulakan seawal 6.00 pagi dengan sesi senamrobik yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta pelbagai lapisan umur sebelum acara larian dan jalan santai dilepaskan.

Pelepasan peserta Larian Santai 5km disempurnakan pada 6.30 pagi, melibatkan 971 peserta yang menyusuri laluan ditetapkan.

Sepuluh minit kemudian, pada 6.40 pagi, seramai 1,514 peserta menyertai Jalan Santai 3km, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan bagi kedua-dua acara tersebut mencecah 2,485 peserta.

SENAMROBIK sebelum acara larian Larian Santai 5km dan Jalan Santai 3km bermula.

Penganjuran program ini bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti kecergasan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

Acara tersebut turut menjadi antara pengisian Program SKS Bahagian Sarikei 2026 yang menghimpunkan pelbagai aktiviti berorientasikan komuniti.

TIMBALAN Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol melakukan pelepasan peserta Larian Santai 5km.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee; Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Timbalan Residen Sarikei, Shafrie Saili; serta Pegawai Penguasa Pejabat Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarikei, Johnny Patrick Ugek.

Oleh Earl Anek

IPU Serian 518, tahap sangat berbahaya

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di IPD Serian kekal pada paras 518 dan dikategorikan sebagai sangat berbahaya setakat 10.00