

KOTA SAMARAHAN: Maraton HSL Samarahan 2026 kembali untuk edisi kelima dengan penyertaan lebih 2,000 pelari, selain memperkenalkan rakan kecergasan baharu serta langkah keselamatan yang dipertingkat.
Acara larian komuniti tahunan itu terus mendapat sambutan menggalakkan dengan kategori paling popular iaitu separuh maraton 21.1 kilometer (km) merekodkan kira-kira 1,000 penyertaan.
Turut mendapat sambutan ialah kategori 10km, 6km dan 3km, dengan penyertaan melibatkan pelari dari seluruh Malaysia serta negara luar termasuk Korea Selatan, China, Afrika dan beberapa negara lain.
Selain itu, acara kali ini turut menyaksikan penyertaan semula juara terdahulu seperti pasukan Team Haolian yang menghimpunkan pelari jarak jauh terbaik dari Malaysia Timur serta Sally Yap, pemegang rekod larian ultra wanita Malaysia.
Bagi edisi 2026, HSL menjalin kerjasama dengan Level Up Fitness, salah satu organisasi kecergasan terkemuka negara, dalam usaha menambah nilai pengalaman peserta.
Pengarah HSL, Yu Ji berkata, kerjasama tersebut dilihat mampu memperkukuh penganjuran acara selain meningkatkan kepuasan peserta dan aspek keselamatan.
Pengasas Level Up, Kenny Sia pula menyifatkan kolaborasi itu sebagai kesinambungan hubungan jangka panjang antara kedua-dua pihak, di samping menyokong usaha mempromosikan pelancongan, acara komuniti dan gaya hidup aktif.
Sepanjang pengambilan kit perlumbaan pada 15 dan 16 Mei, jurulatih Level Up akan mengendalikan sesi kecergasan praktikal serta permainan interaktif di aras bawah La Promenade Mall, selain penganjuran ekspo pelari.
Pada hari perlumbaan 17 Mei, sesi pemanasan badan akan dikendalikan seawal 3.30 pagi hingga 6.00 pagi.
Dalam pada itu, pihak penganjur bersama City Joggers Club dan Bulan Sabit Merah Malaysia turut memperkukuh aspek keselamatan melalui pelbagai penambahbaikan.
Antaranya termasuk penyediaan ambulans bergerak di sepanjang laluan, penambahan pasukan perubatan lengkap termasuk doktor di garisan mula dan penamat di Menara HSL, serta langkah penyejukan seperti pek ais bagi membantu pelari menghadapi cuaca panas dan lembap.
Menurut penyelaras acara, Abraham Tiong, langkah tersebut diambil selepas meneliti amalan terbaik daripada penganjuran larian di Singapura.
Beliau turut memaklumkan kategori maraton penuh tidak dianjurkan tahun ini atas faktor keselamatan berikutan kerja pembinaan laluan Autonomous Rapid Transit (ART) di Lebuh Raya Kuching-Samarahan.
Sebagai alternatif, laluan 21km dialihkan ke Jalan Tanjong Bako seperti tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, kategori 42km dijangka diperkenalkan semula tahun hadapan dengan laluan baharu yang akan melalui Jambatan Sejingkat.
Pendaftaran bagi HSL Samarahan Marathon 2026 masih dibuka, dengan promosi jualan kilat selama 48 jam sempena cuti umum 1 Mei yang menawarkan harga ‘early bird’.
Acara tahun ini turut menampilkan rekaan baju, pingat dan ganjaran penamat bertemakan permainan retro berinspirasikan Tahun Kuda, selain mengimbau penganjuran pertama festival larian HSL pada 2021.