STOCKHOLM: Menurut kemas kini yang dikeluarkan oleh agensi penyakit Kesatuan Eropah(EU), jumlah kes yang disahkan cacar monyet di luar kawasan endemik telah mencecah 219 di seluruh dunia.
Lebih 12 negara, sebahagian besarnya di Eropah, di mana cacar monyet jarang berlaku, telah melaporkan sekurang-kurangnya satu kes yang disahkan, menurut kenyataan epidemiologi yang disiarkan malam Rabu oleh Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).
“Ini adalah kali pertama rantaian penularan diperhatikan di Eropah tanpa hubungan epidemiologi yang diketahui dengan Afrika Barat atau Tengah, di mana penyakit itu merebak secara meluas,” menurut notis itu.
Menurut nota epidemiologi itu, kebanyakan kes dikesan ketika ini terdiri dalam kalangan lelaki muda, khususnya yang menjalin hubungan seks sesama jenis.
United Kingdom yang jarang merekodkan kes cacar monyet mula mengesan wabak itu awal bulan ini, dan kini mencatat jumlah jangkitan terbesar dengan 71 kes, disusuli Sepanyol (59) dan Portugal (37).
Di luar Eropah, Kanada merekodkan 15 kes serta sembilan kes di Amerika Syarikat (AS), dengan jumlah kes keseluruhan setakat semalam meningkat lima kali ganda sejak mula dikira pada 20 Mei lalu yang hanya mencatat 38 kes pada waktu itu.
Awal minggu ini, ECDC memaklumkan risiko jangkitan wabak itu adalah amat rendah, namun memberi amaran individu yang menjalin hubungan seks dengan ramai pasangan tanpa mengira orientasi seksual adalah lebih berisiko.
Cacar monyet, wabak yang kurang serius berbanding cacar (small pox), dikategorikan sebagai endemik di 11 negara di Barat dan Afrika Tengah.
Di Madrid, Sepanyol akan membeli vaksin cacar monyet Imvanex keluaran syarikat Denmark, Bavarian Nordic, ketika jumlah jangkitan wabak di negara itu meningkat kepada 59 kes.
Menteri Kesihatan Sepanyol, Carolina Darias, mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media, namun tidak memperincikan jumlah dos yang diperlukan.
“Kami akan agihkan vaksin itu mengikut jumlah keperluan bagi setiap 17 wilayah di Sepanyol,” katanya.
Kebanyakan jangkitan dikesan di seluruh dunia setakat ini tidak serius dan kes dilaporkan berlaku dalam kalangan lelaki yang menjalin hubungan seks sesama jenis dengan gejala termasuk demam dan ruam yang timbul. – AFP