Lebih 10,000 meriahkan Festival Air Sibu Jaya

Facebook
WhatsApp

SIBU: Lebih 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Festival Air Sibu Jaya di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya di sini, hari ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan festival berasaskan komuniti berkenaan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dari tahun ke tahun.

Menurutnya, penganjuran festival itu bukan sahaja semakin baik dari segi pengisian dan aktiviti, malah turut menyaksikan peningkatan ketara dalam penglibatan masyarakat.

“Daripada tahun ke tahun, kita dapat melihat peningkatan yang cukup ketara, bukan sahaja dari segi penganjuran festival tetapi juga penglibatan masyarakat.

“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), AmCorp serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan festival ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Festival Air Sibu Jaya di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibu Jaya di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, antara keunikan Festival Air Sibu Jaya ialah konsepnya yang berasaskan komuniti dengan penglibatan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Katanya, masyarakat Dayak, Melayu, Melanau dan Cina bersama-sama mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

“Festival seperti ini turut membawa banyak manfaat, khususnya dalam merapatkan hubungan kekeluargaan kerana kita dapat melihat penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, bermula daripada kanak-kanak, ibu bapa sehingga datuk dan nenek,” katanya.

Beliau berkata, program seumpama itu menyediakan ruang kepada seluruh anggota keluarga untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama, di samping mengeratkan silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum.

Sehubungan itu, katanya, kementeriannya sentiasa mengalu-alukan dan memberikan sokongan terhadap penganjuran program berasaskan komuniti yang mampu mengukuhkan institusi keluarga serta perpaduan masyarakat.

Mengulas mengenai keadaan jerebu, beliau berkata, orang ramai perlu mendapatkan maklumat dan merujuk kepada pihak berkuasa berhubung bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatiannya di Sibu Jaya hari ini, keadaan udara di kawasan berkenaan dilihat masih tidak begitu membimbangkan.

“Namun, kita tetap perlu merujuk kepada pakar dan pihak berkuasa berhubung bacaan IPU serta mengambil langkah berjaga-jaga mengikut keadaan semasa,” katanya.

Senamrobik semarakkan Pesta Meradong 2026

BINTANGOR: Aktiviti senamrobik menjadi antara pengisian Program Kesedaran Kesihatan anjuran Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) sempena Pesta Meradong 2026,