KABUL: Taliban merayu bantuan antarabangsa selepas Afghanistan dilanda gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang mengorbankan lebih 1,000 orang dan mencederakan 1,500 yang lain, menurut United Press International (UPI).
Gempa berlaku pada awal Rabu, kira-kira 28 batu di barat daya Khost berhampiran sempadan Pakistan dan gegaran dirasai sehingga ke India.
Ia disusuli dengan gempa bumi berukuran 4.5 pada skala Richter.
Paktika di tenggara Afghanistan merupakan wilayah paling teruk terjejas dengan usaha menyelamat terhalang akibat hujan lebat dan hujan batu.
Ia adalah gempa bumi paling dahsyat pernah melanda negara itu sejak dua dekad lalu dan berlaku kurang setahun selepas Taliban menerajui kepimpinan selepas kejatuhan kerajaan yang disokong Barat sebelum ini.
Pegawai Taliban pada Rabu meminta agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyalurkan keperluan dan bantuan kepada mereka yang terjejas, kata anggota UNICEF dari unit Kabul, Sam Mort kepada BBC.
Wakil khas Britain ke Afghanistan, Nigel Casey, berkata United Kingdom sedang berhubung dengan PBB dan bersedia untuk menyalurkan bantuan bagi tindak balas antarabangsa.
Sementara itu, wakil khas PBB ke Afghanistan, Dr Ramiz Alakbarov, menerusi ciapannya berkata PBB sedang menilai kesan akibat gempa itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Keadaan agak kritikal, jurucakap Taliban Bilal Karimi memberitahu NBC News.
Beratus-ratus kediaman musnah dan angka kematian dijangka terus meningkat serta infrastruktur asas mengalami kerosakan serius.
Sebelum Taliban menguasai kerajaan, perkhidmatan kecemasan Afghanistan telah diperluaskan dengan beberapa helikopter tersedia untuk misi menyelamat, tetapi bekalan perubatan berkurangan.
Seorang wartawan di zon gempa berkata komunikasi selepas gempa menjadi sukar akibat kerosakan pada menara komunikasinya, menurut BBC.-Bernama