Lebih 1,000 calon BLM Tanjong Manis jalani ujian praktikal lesen B2

Facebook
WhatsApp
DATO Ir. Yusuf Abd Wahab bergambar bersama calon semasa lawatan ke Program BLM Parlimen Tanjong Manis di Dewan IKS Tanjung Manis, hari ini.

TANJUNG MANIS: Lebih 1,000 calon Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Parlimen Tanjong Manis kini melalui proses mendapatkan lesen motosikal Kelas B2 menerusi inisiatif yang membantu penduduk luar bandar menikmati kos penyertaan lebih rendah.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, mengadakan tinjauan terhadap pelaksanaan sesi ujian praktikal Bahagian 2 dan 3 program berkenaan di Dewan IKS Tanjung Manis, hari ini.

Dalam lawatan itu, beliau turut berinteraksi dengan calon serta memberikan nasihat dan motivasi kepada mereka yang menjalani ujian praktikal sebagai sebahagian daripada proses mendapatkan lesen motosikal Kelas B2.

Program berkenaan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei dan Institut Memandu Sarikei.

Pelaksanaannya memberi manfaat khususnya kepada penduduk kampung dan rumah panjang dalam kawasan Parlimen Tanjong Manis yang memerlukan lesen memandu yang sah bagi memudahkan urusan dan pergerakan harian.

AHLI Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berinteraksi dengan calon serta memberikan nasihat dan motivasi.

Menerusi program itu, setiap calon hanya perlu membayar RM250 untuk menyertai Program BLM, sekali gus membantu mengurangkan kos yang perlu ditanggung.

Sesi ujian praktikal Bahagian 2 dan 3 yang diadakan hari ini bermula pada pukul 10 pagi, dengan calon menjalani proses penilaian yang ditetapkan bagi melengkapkan keperluan mendapatkan lesen motosikal Kelas B2.

Penganjuran program itu juga merupakan antara usaha untuk mendekatkan kemudahan mendapatkan lesen memandu kepada masyarakat di kawasan Parlimen Tanjong Manis, terutama penduduk yang tinggal jauh dari pusat perkhidmatan berkaitan.

Program BLM Parlimen Tanjong Manis diharap dapat membantu lebih ramai penduduk memiliki lesen memandu yang sah, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

Oleh Earl Anek