
KUALA LUMPUR: Keadaan lebam tanpa sebab, rasa letih yang tidak dapat dijelaskan dan demam kebiasaannya dianggap berpunca daripada stres, tidur tidak cukup atau jangkitan virus yang boleh sembuh sendiri.
Pakar Perubatan Hematologi Klinikal dan Makmal Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Andy Tang Sing Ong bagaimanapun berkata simptom itu boleh menjadi petanda kepada masalah yang lebih serius atau mungkin bermaksud seseorang itu mempunyai gangguan darah tersembunyi.
“Satu daripada cabaran utama dalam mendiagnosis gangguan darah adalah kerana simptom-simptom awal yang mudah diabaikan. Banyak yang menganggap lebam berlaku akibat terhantuk atau keletihan disebabkan kurang tidur tetapi kami melihat pada corak keseluruhan gejala,” katanya dalam kenyataan.
Gejala amaran yang perlu mendapat perhatian perubatan termasuk demam berterusan atau tidak dapat dijelaskan yang berlanjutan lebih daripada dua hingga tiga minggu, lebam yang muncul di kawasan yang biasanya tidak mudah cedera seperti belakang atau abdomen dan pendarahan gusi tanpa sebab yang jelas.
Selain itu, jangkitan berulang tanpa pendedahan ketara kepada individu yang sakit, peluh malam, penurunan berat badan tanpa sebab atau hilang selera makan serta benjolan tanpa rasa sakit atau nodus limfa yang membesar dan tidak hilang.
“Benjolan yang tidak sakit sebenarnya lebih membimbangkan berbanding yang sakit. Yang sakit selalunya berpunca daripada jangkitan manakala benjolan akibat kanser selalunya tidak menyakitkan. Bagi ibu bapa, jangkitan berulang pada anak-anak, terutama yang memerlukan penghospitalan berkali-kali juga perlu diberi perhatian,” katanya.
Dr Andy berkata satu daripada kanser darah paling lazim ialah leukemia berlaku apabila mutasi pada asid deoksiribonukleik (DNA) sel pembentuk darah menyebabkan sel itu membiak secara tidak terkawal, malah terdapat jenis akut yang merebak dengan pantas dan jenis kronik yang berkembang dengan lebih perlahan.
“Kebanyakan kes leukemia berpunca daripada mutasi yang diperoleh selepas kelahiran. Ia biasanya tidak diwarisi, namun jika terdapat sejarah keluarga yang kuat melibatkan pelbagai jenis kanser merentasi generasi, penilaian genetik wajar dipertimbangkan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata gangguan darah bukan kanser sering melibatkan masalah pendarahan atau pembekuan tidak normal yang mungkin diwarisi seperti hemofilia atau diperoleh kemudian manakala yang lain seperti trombositopenia imun (ITP) berlaku apabila sistem imun secara tidak sengaja menyerang platelet sendiri.
Pakar perubatan itu berkata sesetengah kanser darah lebih lazim dalam kumpulan usia tertentu, contohnya leukemia limfoblastik akut (ALL) lebih kerap dilihat pada kanak-kanak manakala jenis lain biasanya pada orang dewasa yang lebih berusia.
Beliau berkata faktor persekitaran dan perubatan juga boleh meningkatkan risiko termasuk pendedahan kepada radiasi, benzena, racun perosak atau penggunaan jangka panjang ubat imunosupresif untuk keadaan autoimun seperti lupus.
Dr Andy berkata wanita dalam usia reproduktif pula lebih cenderung terdedah kepada gangguan darah berkaitan imun seperti ITP dan anemia autoimun selain penggunaan jangka panjang pil perancang yang mengandungi estrogen boleh meningkatkan risiko pembekuan darah pada sesetengah wanita.
Beliau ketika mengulas mengenai perjalanan diagnostik berkata prosesnya bermula dengan pemeriksaan sejarah perubatan serta fizikal yang terperinci dan daripada situ, ujian darah asas akan dilakukan.
“Sekiranya terdapat ketidaknormalan seperti kiraan sel darah yang rendah atau tinggi yang tidak dapat dijelaskan tanpa jangkitan virus, ujian tambahan atau pengimejan akan dilakukan.
“Biopsi sumsum tulang atau ujian mutasi hanya dilakukan apabila perlu, contohnya apabila terdapat kecurigaan terhadap kanser, demam berterusan yang tidak dapat dijelaskan atau punca yang tidak jelas bagi keputusan darah yang abnormal.
Menurut Dr Andy, pemeriksaan sumsum tulang membantu mengesahkan sama ada terdapat kanser, jangkitan atau masalah autoimun yang akan menentukan rawatan yang sewajarnya.
Beliau menjelaskan salah tanggapan paling biasa didengar ialah semua kanser darah memerlukan kemoterapi, namun rawatan itu kekal sebagai asas rawatan dan bagi sesetengah kes rawatan biasanya digabungkan dengan terapi sasaran seperti imunoterapi atau pemindahan sel stem dalam sesetengah kes.
Dr Andy berkata rawatan untuk keadaan yang bukan kanser adalah berbeza, iaitu gangguan pendarahan mungkin memerlukan pemindahan platelet atau penggantian faktor pembekuan, manakala pembekuan darah biasanya dikendalikan dengan ubat penipis darah yang disesuaikan dengan keperluan dan profil risiko pesakit.
Gangguan autoimun pula sering melibatkan steroid atau terapi modulasi imun yang lain dengan pemantauan teliti dan kerap untuk mengurangkan kesan sampingan jangka panjang.
“Untuk sesetengah leukemia risiko tinggi atau limfoma yang berulang, pemindahan sel stem atau sumsum tulang mungkin dipertimbangkan. Ini boleh melibatkan penggunaan sel stem sendiri atau sel daripada penderma,” katanya.
Justeru, Dr Andy menekankan kepentingan mendapatkan nasihat perubatan walaupun simptom kelihatan ringan.
“Jangan abaikan jika simptom berterusan atau menjadi lebih teruk walaupun selepas rehat atau rawatan asas. Intervensi awal boleh mengesan masalah pada peringkat awal, iaitu rawatan lebih berkesan dan hasilnya lebih baik,” katanya.- Bernama