KUCHING: Jenama minuman terkenal dari Sarawak, LEAVES® secara rasmi telah menembusi pasaran Indonesia kelmarin yang menandakan satu lagi kejayaan penting dalam strategi pengembangan antarabangsa jenama tersebut.
Selain itu, langkah ini mencerminkan komitmen LEAVES® untuk membawa produk tempatan Sarawak ke peringkat global, selari dengan visinya dalam mempromosikan produk Sarawak ke seluruh dunia.
Salah satu produk ikoniknya, ‘Teh C Special Syrup’ atau lebih dikenali sebagai ‘Teh 3 Lapis’ yang dilancarkan pada 2004.
Produk utama LEAVES® itu menggunakan gula apong khas dari Sarawak yang mempunyai rasa manis semula jadi dan menggabungkan elemen tempatan Sarawak.
LEAVES® dalam siaran media kelmarin menyatakan, Teh 3 Lapis ini melambangkan kepelbagaian budaya Sarawak yang merangkumi keharmonian antara budaya Melayu, Cina, dan Iban.
“Lapisan bawah gula apong melambangkan budaya Melayu, lapis tengah susu teh mewakili budaya Cina, manakala lapis atas teh melambangkan budaya Iban.
“Reka bentuk produk yang unik ini bukan sahaja memenuhi cita rasa pengguna, malah memberikan pengalaman visual yang menarik, mencerminkan penekanan jenama terhadap kepentingan warisan budaya,” katanya.
Justeru, ia terus menjadi kegemaran rakyat di pasaran Malaysia, jelasnya.
Strategi Tembusi Pasaran Indonesia
LEAVES® mendedahkan, Indonesia dipilih sebagai pasaran antarabangsa pertama yang akan diterokai secara besar-besaran.
“LEAVES® berharap dapat membina kesedaran jenama dalam pasaran pengguna yang besar di Indonesia.
“Sebagai salah satu pasaran pengguna terbesar di Asia Tenggara, Indonesia mempunyai golongan muda yang terbuka kepada produk baru dan inovatif, menyediakan peluang besar untuk pertumbuhan LEAVES®.
“Justeru, kami amat teruja untuk memasuki pasaran Indonesia,” kata Pengasas LEAVES® dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kemasukan ke pasaran Indonesia merupakan satu langkah penting dalam strategi globalisasi LEAVES®.
Malah, LEAVES® merancang untuk bekerjasama dengan pengedar dan peruncit tempatan di Indonesia bagi memperluaskan jangkauan ke lebih banyak bandar dan kawasan serta membawa produk jenama ini ke pasaran makanan dan platform e-dagang Indonesia bagi memudahkan pengguna menikmati produk LEAVES®.
“Misi jenama LEAVES® adalah untuk memperkenalkan Sarawak kepada dunia melalui minuman.
“Kami yakin melalui pasaran di Indonesia, kami dapat terus meneruskan misi ini dan menawarkan pengalaman rasa yang berbeza kepada pengguna di sana,” tambah Pengarah Eksekutif, Alan Chai Ming Lun.
Mengenai LEAVES®
Diasaskan pada 1997, LEAVES® dikenali sebagai jenama minuman tempatan popular dari Sarawak kerana kualiti dan inovasinya dalam menghasilkan produk minuman berkualiti tinggi.
Pada 2004, LEAVES® melancarkan Teh C Special Syrup, yang dianggap sebagai pencipta ‘Teh 3 Lapis Sarawak’.
Sementara itu, pada 2020, syarikat ini memperkenalkan versi siap minum dalam tin bagi memenuhi permintaan pengguna moden.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi LEAVES® di leavesfood.com atau ikuti platform media sosial rasmi LEAVES®.