SIBU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Galeri Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) di Kem RASCOM, di sini.
Lawatan ini bukan sahaja menandakan penghormatan kepada usaha pemeliharaan sejarah ketenteraan di Sarawak, malah juga memperkukuhkan hubungan strategik antara kerajaan Sarawak dan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Lawatan ini turut memberikan penghormatan kepada Tun Wan Junaidi yang pernah terlibat secara langsung dalam usaha menentang ancaman komunis semasa era perjuangan RASCOM.
Wan Junaidi sebelum ini memulakan kerjayanya dengan menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1964.
Beliau kemudiannya berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari 1968 hingga 1973, dan terlibat secara aktif dalam operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di kawasan Miri, Sibu dan Kapit.
Dalam tempoh ini, beliau juga pernah bertugas di RASCOM dan mempertaruhkan nyawa dalam beberapa siri operasi untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.
RASCOM ditubuhkan pada 26 Mac 1972 oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, melalui Arahan No. 4 Majlis Keselamatan Negara.
Ini bertujuan mengawal kegiatan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang semakin meningkat di kawasan tengah Sarawak.
Kawasan tanggungjawab RASCOM meliputi 58,544 kilometer persegi, termasuk Daerah Sarikei, Mukah, Sibu, dan Kapit.
Galeri RASCOM yang ditubuhkan pada 2012, adalah hasil ilham Brig Jen Datuk Stephen Mundaw, Panglima 9 Briged ke-18.
Galeri ini mempamerkan artifak penting yang merangkumi sejarah penubuhan dan pengoperasian RASCOM dan dibahagikan kepada enam bahagian utama termasuk pelan utama RASCOM, penubuhan, aktiviti, operasi ketenteraan, sejarah unit dan pembangunan kawasan keselamatan.
Lawatan ini turut dihadiri oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta isteri, Datin Sri Loreta Rundi.
Turut hadir ialah Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato Mohd Sofi Md Lepi, bersama isteri, Datin Erni Irawati Rosli, serta Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis.
Kehadiran pegawai-pegawai kanan kerajaan dan hadirin turut memeriahkan acara bersejarah ini.
Lawatan ini dimulakan dengan ketibaan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan di Dewan RASCOM, disambut dengan tarian Ngajat.
Selepas sesi taklimat dan lawatan galeri, acara bergambar dan tandatangan buku lawatan turut diadakan.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari di Wisma Perwira 9 Briged dan penyampaian cenderahati kenangan.
Oleh TARANI LANTING
Gambar
Tun Dr Wan Junaidi di usia mudanya ketika mula menyertai PDRM