
BINTANGOR: Lawatan pra-Gawai hari ke-11 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing terus memperkukuh hubungan antara kerajaan Sarawak dan rakyat luar bandar.
Menurut beliau, lawatan tersebut bukan sekadar memenuhi tradisi menjelang sambutan Hari Gawai, malah memberi ruang untuk bertemu secara langsung dengan penduduk rumah panjang, mendengar suara hati mereka, serta menilai sendiri keperluan dan isu yang dihadapi oleh komuniti setempat.
“Setiap tahun, saya akan mengunjungi semua rumah panjang di kawasan DUN Meradong menjelang musim perayaan Gawai.
“Inilah peluang terbaik untuk saya mengenal pasti dan melihat sendiri cabaran yang dihadapi penduduk,” katanya yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke beberapa rumah panjang di Skim B, petang semalam.
Dalam ucapannya, Ding mengingatkan agar Tuai Rumah dan penduduk rumah panjang sentiasa berbincang dan menyelaraskan permohonan terlebih dahulu sebelum menghantarkannya secara rasmi ke Pusat Khidmat Wakil Rakyat Meradong.
Beliau turut menekankan komitmen kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang terus memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar serta kebajikan rakyat di semua peringkat.
“Antara pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri termasuklah Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), dan Kumpulan Wang Wakaf Sarawak (EFS) untuk bayi.
“Selain itu, kerajaan Sarawak turut memperkenalkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang bertujuan meringankan beban kewangan pelajar di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Universiti i-CATS,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar masyarakat luar bandar, khususnya penduduk rumah panjang di kawasan Meradong, terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan Sarawak yang sentiasa berusaha menyalurkan pembangunan dan kebajikan kepada semua, tanpa mengira kaum dan agama.
Oleh Earl Anek