GAMBAR hari terakhir di Kampung Budaya Sarawak.
AKADEMI SpaKg bukanlah nama yang asing lagi di Bumi Kenyalang. Selain daripada menganjurkan kursus terapi urutan, akademi ini juga merupakan pengeluar produk kosmetik yang tersohor di Malaysia iaitu MLG Skin Solutions. Ruffeque Trading, sebuah syarikat tempatan Sarawak merupakan pengedar tunggal bagi produk ini di Bumi Kenyalang.
Pada 6 hingga 9 Jun 2022 yang lepas, delegasi Akademi SpaKg daripada seluruh Malaysia sekali lagi telah bertandang ke bandar raya Kuching bagi menyempurnaan majlis pelancaran produk terbaharu syarikat ini iaitu Bidara Relaxing Shower Gel yang juga dikenali sebagai Mandian 7 Bunga Bidara.
Produk ini telah mendapat sambutan yang luar biasa di pasaran semenanjung Malaysia dan kini cuba untuk menembusi pasaran di negeri Sarawak. Apa yang istimewanya produk ini kerana ia terhasil dari 100 peratus ekstrak Botani, Bidara Ruqyah dan bebas Paraben.
Lawatan daripada rombongan yang terdiri dari peserta daripada pelbagai negeri itu digunakan sebaiknya oleh Ruffeque Trading untuk mempromosikan keindahan dan keistimewaan Sarawak khususnya di Bahagian Kuching.
Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, rombongan terus dibawa melawat Pusat Hidupan Liar Semenggok untuk melihat sendiri Orang Utan. Usai daftar masuk di hotel dan berehat sebentar, rombongan menyertai makan malam alu-aluan di Impianku Kafe di Taman Matang Jaya.
EKSPEDISI KE TAMAN NEGARA BAKO
Pada hari kedua, semua peserta dibawa untuk menyertai ekspedisi di Taman Negara Bako. Selain daripada menikmati keindahan hutan hujan tropika, peserta juga mendapat banyak informasi berharga mengenai sejarah dan jenis hutan serta buah-buahan hutan daripada pemandu ekspedisi, Rosli.
Dalam lawatan tersebut, rombongan dibawa untuk melihat sendiri ikon popular di Taman Negara Bako iaitu Batu Tedung menyerupai kepala ular tedung.
Sebagai pencinta keindahan alam, rombongan berpeluang untuk menusuri trek rimba berdiversiti di Taman Negara Bako Setelah menikmati makan tengah hari, peserta terus dibawa ke Borneo Cultures Museum merupakan muzium terbaharu di bandar raya Kuching.
Bangunan muzium setinggi lima tingkat itu memberi pelbagai informasi berharga kepada peserta rombongan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah dan budaya Sarawak.
Pada sebelah malamnya pula rombongan menyertai majlis makan malam bersama Pak Wan Group yang merupakan ahli Akademi SpaKg Sarawak sebelum dibawa ke Waterfront Kuching untuk melihat sendiri keindahan Masjid Bandaraya Kuching (Masjid Terapung), persembahan Darul Hana Musical Fountain dan menaiki Jambatan Darul Hana yang terkenal dengan keunikannya.
Hari ketiga merupakan hari yang paling ditunggu-tunggu kerana peserta akan meyertai ekspidisi di hutan Empangan Bengoh yang terkenal dengan nama jolokannya Hutan Jurassic.
KEPUASAN TIDAK TERKIRA
Walaupun penat, namun senyuman jelas terukir di setiap peserta yang nyata berpuas hati dengan ekspidisi tersebut. Mana tidaknya hutan hujan bumi Sarawak yang masih terpelihara itu nyata sangat indah pada pandangan mata dan menjadi sebutan setiap yang memandang.
Pada sebelah petangnya, delegasi terus di bawa ke EcoMall untuk menyertai Majlis Pelancaran produk Bidara Relaxing Shower Gel di outlet MLG (Sha.Ac.Co) terletak di tingkat 1, pusat membeli-belah tersebut.
Majlis disempurnakan oleh Jamaluddin Samad, Penaung Akademi SpaKg. Tidak sah datang ke Kuching sekiranya tidak melawat Kampung Budaya Sarawak. Justeru, pada hari ke-4, rombongan dibawa untuk melihat sendiri keunikan dan budaya pelbagai kaum di Sarawak yang dikumpulkan di satu tempat.
Sebelum ke lapangan terbang, rombongan juga sempat dibawa ke Jong’s Crocodile Farm untuk melihat haiwan ikonik negeri Sarawak iaitu buaya. Sesungguhnya program pada kali ini amat bermakna kerana selain daripada dapat menikmati keindahan alam, Akademi SpaKg juga dapat membantu melahirkan usahawan produk tempatan akhirnya dapat membantu meningkatkan sumbangan KDNK negara khususnya Sarawak selari dengan matlamat kerajaan untuk mengembangkan ekonomi negara.
Bagi mereka yang ingin mengetahui program yang akan dianjurkan oleh syarikat tersebut bolehlah menyukai page facebook Akademi SpaKg.