

BINTULU: Program Larian Senyap Bintulu berjaya menghimpunkan lebih 300 peserta yang terdiri daripada ahli komuniti, sukarelawan, keluarga serta penyokong dalam satu acara yang membawa mesej kesedaran inklusiviti dan pemerkasaan komuniti Pekak di bandar ini, pada Ahad lalu.
Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming.
Dalam ucapan perasmiannya, Angellie berkata penganjuran Larian Senyap bukan sekadar aktiviti sukan, tetapi turut membawa mesej penting mengenai penerimaan masyarakat terhadap komuniti Pekak serta usaha mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif.
Menurut beliau, komuniti Pekak mempunyai keupayaan, bakat dan potensi tersendiri yang wajar diberi perhatian serta peluang yang sama rata dalam pelbagai bidang termasuk sukan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
“Program ini menjadi platform untuk meraikan kekuatan dan semangat komuniti Pekak, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa komunikasi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai mempelajari bahasa isyarat sebagai langkah penting ke arah membina komunikasi yang lebih berkesan serta masyarakat yang lebih inklusif.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Victor Hii Lik Nguong berkata sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan mencerminkan sokongan masyarakat terhadap usaha meningkatkan kefahaman mengenai komuniti Pekak di Bintulu.
Katanya, antara objektif utama penganjuran Larian Senyap adalah untuk memperkukuh kesedaran awam mengenai kewujudan dan keperluan komuniti Pekak, selain menggalakkan penglibatan lebih aktif masyarakat umum.
“Program ini juga menjadi platform untuk menghubungkan komuniti Pekak dengan pelbagai pihak termasuk persatuan, kumpulan sokongan dan organisasi berkaitan agar lebih banyak bantuan serta peluang dapat disalurkan,” katanya.
Beliau berkata program itu turut berfungsi sebagai platform kutipan dana bagi menyokong pembangunan atlet Pekak di Sarawak, khususnya dalam menyediakan peluang latihan dan pembangunan sukan.
Larian Senyap Bintulu turut menandakan permulaan siri Larian Senyap di Sarawak yang akan diteruskan ke beberapa lokasi lain termasuk Miri, Sibu dan Kuching.
Penganjuran program ini dilihat selari dengan usaha memperkukuh nilai perpaduan, keterangkuman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang di negeri ini.
Oleh Faizah Muzidi