BINTULU: Larian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintulu 1.0 yang dijadualkan berlangsung pada 29 November ini ditunda ke 25 April 2027 berikutan Dewan Suarah Bintulu tidak dapat digunakan dalam tempoh Oktober hingga Disember.
Timbalan Ketua JBPM Bintulu, Mohammad Asyraf Ahmad berkata, penangguhan itu turut mengambil kira beberapa faktor lain berkaitan penganjuran acara berkenaan.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas pihak penganjur menilai keadaan dan keperluan semasa bagi memastikan segala persiapan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
“Pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat penangguhan ini dan menghargai kefahaman serta kerjasama peserta serta orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahanya, keputusan menetapkan tarikh baharu dibuat lebih awal bagi membolehkan peserta yang telah mendaftar membuat perancangan serta menyesuaikan jadual mereka untuk menyertai acara tersebut.
Beliau berkata, peserta yang telah membuat pendaftaran akan dihubungi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau panggilan telefon bagi memaklumkan mengenai penangguhan dan urusan selanjutnya.
“Peserta diberi pilihan sama ada mendapatkan bayaran balik atau mengekalkan penyertaan bagi menyertai Larian JBPM Bintulu 1.0 pada 25 April tahun depan tanpa perlu membuat pendaftaran baharu,” katanya.
Mohammad Asyraf turut menasihatkan peserta supaya memberi perhatian kepada makluman rasmi daripada pihak penganjur dan mengikuti arahan yang diberikan berkaitan urusan bayaran balik atau pengekalan penyertaan.
Beliau berkata, penganjuran larian itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara JBPM dan komuniti.
Ujarnya, acara berkenaan turut memberi peluang kepada orang ramai mengenali dengan lebih dekat tugas dan peranan anggota bomba serta latihan yang dijalankan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Walaupun ditangguhkan, pihak penganjur berharap Larian JBPM Bintulu 1.0 pada tahun depan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan dapat dilaksanakan dengan lancar serta selamat.
Larian berkenaan menawarkan kategori Larian Santai lima kilometer (km) dengan harga pendaftaran awal RM60, manakala kategori 10km ditawarkan pada harga pendaftaran awal RM70.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Mohammad Asyraf di talian 013-5085803 atau Bonnie di talian 013-6937531.
Oleh Carolyne Utih





