KUCHING: Lapangan terbang di negeri ini akan dilengkapi dengan mesin pengimbas kargo Kecerdasan Buatan (AI) bagi memerangi kegiatan sindiket penyeludupan dadah yang menjadikan Sarawak sebagai transit.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembelian mesin pengimbas itu dibiayai oleh kerajaan Sarawak, sekali gus memperkasakan lagi komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam menyekat kemasukan dadah ke Sarawak.
“Dengan peralatan berteknologi tinggi itu, kerajaan Sarawak meletakkan harapan tinggi kepada pihak berkuasa untuk membendung aktiviti pengedaran dadah dari luar yang menjadikan negeri ini sebagai transit sebelum bahan terlarang itu diseludup pula ke negara jiran,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Khas Narkotik di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.
Abang Johari berkata, penyeludupan dadah ke Sarawak banyak dilakukan melalui pengangkutan udara berbanding laut dan menyedari keadaan itu kerajaan Sarawak membantu Jawatankuasa Sehenti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) khususnya PDRM untuk mendapatkan alat berteknologi tinggi bagi memantapkan lagi pengesanan dilakukan selain dengan penggunaan anjing.
“Sebelum ini banyak lapangan terbang domestik kita tidak dilengkapi peralatan untuk mengesan dadah, tetapi dengan peruntukan kerajaan Sarawak ini, saya berharap pemantauan akan daapt dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Ayob Khan berkata kerajaan Sarawak memperuntuk dana sebanyak RM1.7 juta kepada PDRM untuk membeli alat berteknologi tinggi bagi mengesan penyeludupan dadah ke negeri ini.
Katanya, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri itu dapat membeli peralatan canggih seperti alat Pengesan Dadah Visual Segera (IVDD) dan ‘Hand Held Backscatter’ untuk mengesan dadah yang dibawa masuk.
Sekarang, katanya, Sarawak sudah mempunyai 19 unit peralatan itu yang diperoleh dengan peruntukkan kerajaan negeri.
Selain penggunaan peralatan terkini katanya, sebanyak 13 lagi Ibu Pejabat Polis (IPD) di Sarawak kini mempunyai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menjadikan semua 28 IPD seluruh Sarawak memiliki pegawai dan anggota khusus untuk menangani kes dadah.
IPD yang baru menerima pegawai dan anggota JSJN itu ialah Lundu, Belaga, Marudi, Matu Daro, Maradong, Simunjan Julau, Lubuk Antu, Kanowit, Saratok, Tatau, Dalat dan Song.
“PDRM juga menubuhkan Pejabat Sekretariat Nukleus Narkotik (SSN) Balai Polis Tebedu dalam bahagian Serian bagi memudahkan kita memantau aktiviti penyeludupan dadah merentas sempadan.
“SSN dikendalikan oleh Bahagian Antarabangsa Narkotik Bukit Aman dan kita sedang meneliti untuk menubuhkannya di laluan utama keluar masuk ke Sarawak yang lain,” katanya.
Oleh NOOR IKMAL