SARIKEI: Lapan lelaki dewasa maut manakala dua orang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Alza dan sebuah pacuan empat roda (4WD) berhampiran Sebanyak Jalan Pan Borneo, Sarikei-Sibu, di sini, hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan memberitahu lapan mangsa yang meninggal dunia melibatkan seorang warganegara Malaysia dan tujuh orang warganegara Indonesia.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.40 petang sebelum menggerakkan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei ke tempat kejadian.
”Setibanya di lokasi yang terletak 20 kilometer dari balai, Komander Operasi memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza dengan sebuah kereta pacuan empat roda.
”Dua orang mangsa yang menaiki pacuan empat roda telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya.
Sementara itu, jelasnya dua mangsa yang menaiki Perodua Alza telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM manakala enam lagi mangsa masih tersepit dalam kenderaan.
Setelah itu, anggota keluaran operasi kemudian bertindak mengeluarkan enam mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
”Bagaimanapun, enam mangsa turut disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM dan mayat mereka kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.50 petang setelah pihak bomba memastikan semua keadaan kembali selamat.