NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Lapan individu termasuk dua lelaki yang leka melakukan aktiviti senaman zumba ditahan di tingkat 1 sebuah premis gymnasium di Lorong Salim, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada jam 12.15 tengah hari.
“Serbuan dilakukan hasil maklumat daripada orang awam yang disalurkan melalui Bilik Gerakan Covid-19 IPD Sibu. Ketika tiba di lokasi, didapati pintu pagar berkunci dan hanya dibuka selepas dipanggil beberapa kali.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki dan enam wanita sedang bersukan iaitu melakukan aktiviti zumba dalam gymnasium tersebut,” katanya dalam satu kenyatan, semalam.
Menurut Stanley, selain tidak mengindahkan kehadiran polis, kesemua suspek juga enggan bekerjasama apabila disoal siasat malah, dalam masa yang sama mempersoalkan tindakan polis yang melakukan serbuan.
“Kesemua suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Lanang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020 kerana berhimpun maksud bersukan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam tangkapan berasing, sembilan lelaki dan lapan wanita ditahan dalam OP Bersepadu Sekatan Jalan raya dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kawasan Sibu Jaya yang bermula dari jam 9 hingga 11 pagi di Jalan Sibu Jaya Timur.
“Kesemua tangkapan diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sibu untuk siasatan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” tegasnya.