
MIRI: Inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menyediakan pendidikan percuma di universiti tempatan menjelang 2026 bukan sahaja dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang, tetapi juga sebagai langkah strategik untuk melahirkan generasi muda Sarawak yang berkemahiran tinggi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun kosnya agak tinggi, namun pihak kerajaan yakin mampu menampung sepenuhnya yuran ini, malah memberikan tambahan ‘wang saku’ kepada pelajarnya.
“Kita tidak hanya memberikan yuran percuma kepada anak Sarawak tetapi tambahan ‘wang saku’ iaitu sebanyak RM15,000 setahun kepada setiap pelajar yang menyambung pelajaran di peringkat universiti.
“Sekiranya kita mempunyai 10,000 pelajar, saya menjangkakan ia akan menelan perbelanjaan sebanyak RM700 juta setahun, termasuk ‘wang saku’ itu tadi tetapi ini tidak akan menjadi beban kepada kerajaan Sarawak kerana kita membuat perkara ini untuk anak kita,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran gabungan lima cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miri, di sebuah hotel di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kepentingan pendidikan yang bukan sahaja mampu mengubah taraf hidup mereka malah dapat melahirkan anak-anak Sarawak yang pakar dalam meneroka bidang terkini, sekali gus membentuk komuniti yang mampu bersaing dalam ekonomi baharu.
Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Dato Lukanisman Awang Sauni serta tetamu kehormat yang lain. – UKAS