Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Langit kelihatan kosong, tetapi laluan ribuan kapal terbang sudah ditetapkan
  • KOLUMNIS

Langit kelihatan kosong, tetapi laluan ribuan kapal terbang sudah ditetapkan

Utusan Sarawak 6 hours ago

APABILA kita melihat kapal terbang melintas membelah langit, mudah untuk kita menyangka bahawa ia terbang bebas ke mana sahaja kerana ruang di atas sana kelihatan sangat luas dan kosong.

Di langit, tiada pagar yang menghadang, tiada garis sempadan yang kelihatan, malah tiada jalan yang disediakan seperti di darat.

Keadaan ini juga sering membuatkan kita beranggapan bahawa perjalanan udara boleh sahaja bergerak secara lurus dari titik A ke titik B tanpa perlu memasuki sebarang simpang atau mengikuti laluan tertentu.

Namun, sangkaan ini sebenarnya tidak tepat. Memang benar langit kelihatan luas dan kosong, tetapi dalam ruang yang sama terdapat ribuan pesawat sedang terbang ke destinasi masing-masing pada masa yang hampir serentak.

Ada pesawat yang baru sahaja berlepas dan sedang mendaki ke altitud pelayaran. Ada yang sedang menurun untuk mendarat di lapangan terbang. Ada yang sedang melintasi ruang udara pada altitud tinggi dan ada juga yang perlu mengubah laluan kerana cuaca buruk seperti ribut petir atau angin kencang di hadapan.

Oleh itu, sekiranya ruang yang luas ini tidak mempunyai jalan tertentu, risiko untuk mana-mana pesawat berada terlalu hampir antara satu sama lain akan meningkat, terutama di kawasan berhampiran lapangan terbang atau di laluan utama menuju destinasi yang popular kerana kawasan ini sering menjadi titik tumpuan trafik udara yang padat.

Jika di atas jalan raya yang jelas kelihatan lorongnya pun, kemalangan mudah berlaku apabila tiada kawalan yang baik, jadi bayangkan pesawat yang bergerak pada kelajuan ratusan kilometer sejam jika pergerakannya tidak disusun dengan teliti?

Risiko perlanggaran di udara bukan sahaja berbahaya, malah boleh membawa akibat yang sangat serius.

Maka disebabkan potensi risiko ini, dunia penerbangan memerlukan satu sistem yang menjadikan langit mempunyai aturan. Sistem ini tidak kelihatan kepada orang awam, namun ia mengurus perjalanan pesawat secara menyeluruh melalui pemantauan berterusan, komunikasi jelas dan penyelarasan antara pelbagai pihak yang terlibat dalam operasi penerbangan.

Sistem ini dikenali sebagai Flight Information Region (FIR). Secara mudah, FIR ialah satu kawasan ruang udara dengan sempadan tertentu yang diwujudkan untuk menyediakan perkhidmatan maklumat penerbangan dan perkhidmatan amaran keselamatan.

Hal ini adalah untuk memastikan setiap ruang udara di kawasan tertentu dapat diuruskan dengan lebih teratur tanpa berlakunya pertindanan arahan yang mengelirukan.

Melalui penyelarasan yang jelas, tanggungjawab memantau dan menyampaikan maklumat penting kepada pesawat dapat dilaksanakan dengan tepat serta mengurangkan risiko salah faham antara pihak yang terlibat.

Harus difahami, FIR bukanlah sempadan kedaulatan. Ruang udara berdaulat merujuk kepada hak sesebuah negara ke atas ruang udara di atas wilayah daratan dan perairan wilayahnya. FIR pula ialah sempadan teknikal untuk pengurusan navigasi udara.

Apabila sebuah pesawat memasuki FIR yang diuruskan oleh sesebuah negara, maksudnya perkhidmatan maklumat, penyelarasan dan dalam ruang udara tertentu kawalan trafik udara akan diberikan oleh pihak yang bertanggungjawab di kawasan itu. Ia tidak bermaksud negara pengurus memiliki ruang udara tersebut.

Kekeliruan tentang FIR sering timbul apabila orang menyamakan kawalan operasi dengan hak milik. Dalam penerbangan, kedua-duanya berbeza.

Sebuah negara boleh mempunyai kedaulatan terhadap ruang udara di atas wilayahnya, tetapi sebahagian perkhidmatan navigasi udara di kawasan tertentu boleh disusun melalui perjanjian teknikal atau kerjasama serantau.

Matlamatnya bukan untuk menukar hak politik, tetapi untuk memastikan pesawat bergerak dengan selamat, lancar dan cekap.

Sistem ini merupakan antara hasil Konvensyen Chicago 1944 dan pembentukan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Selepas penerbangan antarabangsa berkembang pesat, dunia memerlukan satu kaedah yang seragam supaya pesawat dari pelbagai negara boleh terbang merentasi sempadan tanpa bergantung pada tafsiran berbeza bagi setiap negara.

ICAO kemudian menjadi badan utama yang menyelaras piawaian dan amalan penerbangan awam antarabangsa.

Pembahagian FIR dibuat berdasarkan keperluan operasi, bukan semata-mata bentuk peta politik. Faktor seperti kemampuan komunikasi, liputan radar, kepadatan trafik, kedudukan laluan utama, keupayaan pusat kawalan dan keselamatan penerbangan diambil kira.

Tugas pengawal trafik udara dalam sistem ini boleh dibayangkan seperti pengurus aliran trafik di lebuh raya bertingkat yang tidak kelihatan. Mereka membantu memastikan pesawat berada pada laluan dan ketinggian yang sesuai, mengekalkan jarak selamat antara pesawat dan menyelaraskan pergerakan apabila trafik menjadi padat.

Dalam ruang udara terkawal, arahan ketinggian, arah laluan dan perubahan kelajuan boleh diberikan supaya semua pesawat bergerak secara teratur.

Selain membantu mengelakkan konflik laluan, FIR juga memainkan peranan dalam penyebaran maklumat keselamatan. Maklumat seperti penutupan sementara ruang udara, kerja pembaikan alat bantuan navigasi, aktiviti ketenteraan, kawasan bahaya, gangguan operasi lapangan terbang atau keadaan khas lain disebarkan melalui notis maklumat penerbangan penting (NOTAM).

Notis seperti ini membolehkan syarikat penerbangan dan juruterbang mengetahui perkara penting sebelum penerbangan bermula dan semasa penerbangan berlangsung.

Perkhidmatan amaran juga menjadi sebahagian daripada fungsi penting FIR. Jika sebuah pesawat gagal dihubungi, mengalami kecemasan atau menunjukkan tanda-tanda berada dalam bahaya, unit trafik udara akan memaklumkan pihak yang berkaitan untuk tindakan lanjut.

Hubungan antara kawalan trafik udara, pusat koordinasi mencari dan menyelamat serta pihak berkuasa penerbangan menjadi sangat penting dalam situasi ini. Setiap minit boleh memberi perbezaan besar dalam operasi kecemasan.

Dari sudut ekonomi, pengurusan FIR juga memerlukan kos yang besar. Radar, sistem komunikasi, rangkaian data, perisian kawalan trafik udara, latihan pengawal dan penyelenggaraan pusat kawalan bukanlah murah.

Oleh sebab itu, perkhidmatan navigasi udara melibatkan caj tertentu kepada pengguna ruang udara.

Di Malaysia, caj ini dikenali sebagai Route Air Navigation Services (RANS) Charges.

Berdasarkan Aeronautical Information Publication (AIP) Malaysia, semua penerbangan yang memasuki ruang udara dalam sempadan FIR Kuala Lumpur dan FIR Kota Kinabalu tertakluk kepada RANS Charges kecuali penerbangan yang dikecualikan.

Caj ini perlu dibayar kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Penetapan caj ini bukan dibuat secara sewenang-wenangnya.

Di Malaysia, RANS Charges ditentukan bagi setiap penerbangan berdasarkan berat pesawat. Berat ini merujuk kepada Maximum Certificated Take-Off Weight (MTOW) dalam kilogram seperti yang dinyatakan dalam Certificate of Airworthiness.

Sebagai contoh untuk 2025, kadar caj ditetapkan mengikut kategori MTOW pesawat, bermula daripada RM139 bagi pesawat dalam kategori 0 kilogram hingga 2,500 kilogram dan meningkat mengikut kategori berat sehingga RM593 bagi pesawat 300,001 kilogram atau lebih.

Dalam erti kata mudah, pesawat yang lebih besar dan lebih berat berada dalam kategori caj yang berbeza berbanding pesawat kecil.

Namun, caj ini sepatutnya dilihat sebagai pemulihan kos perkhidmatan navigasi udara dan bukannya sebagai keuntungan bebas yang digunakan untuk tujuan lain yang tidak berkaitan.

Sistem ini perlu terus dibiayai agar keselamatan dan kecekapan pengurusan ruang udara dapat dikekalkan.

Sungguhpun FIR kini boleh dikatakan sudah beroperasi dengan baik di serata tempat, pertikaian had sempadan antara negara berjiran masih wujud kerana isu ini berkait rapat dengan kedaulatan, pertahanan dan sensitiviti serantau.

Bagaimanapun, penerbangan awam memerlukan tahap kerjasama yang tinggi meskipun pertikaian dan perbezaan politik terus dibangkitkan. Perbincangan dan perundingan perlu dilangsungkan dalam keadaan yang profesional dan stabil supaya pengurusan ruang udara tidak terjejas.

Pesawat komersial tidak boleh menjadi mangsa salah faham geopolitik kerana keselamatan penumpang tetap perlu diutamakan.

Langit kelihatan kosong hanya kerana jalannya tidak kelihatan. Di sebalik ruang itu, ada satu sistem besar yang bekerja sepanjang masa untuk memastikan setiap perjalanan tiba dengan selamat.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Harapan nak guna 17 kerusi DUN baharu untuk PRN berkecai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.