KUCHING: Syarikat bernaung di bawah Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak semakin menuju ke landasan yang baik seperti sebelum penularan pandemik Covid-19.
Presidennya, Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki mengakui kelomggaran yang diberikan kepada pemain industri perniagaan termasuklah yang melibatkan industri automotif dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak bulan lalu sedikit sebanyak memberi impak positif pada aspek penjualan kenderaan import terpakai yang terjejas akibat Covid-19 lalu.
“Walaupun permintaan dan penjualan kenderaan import terpakai pada awalnya meningkat dengan perlahan-lahan, tetapi pada masa sekarang kita, khususnya syarikat yang bernaung di bawah PEKEMA semakin menuju ke landasan yang baik seperti sebelum dunia dilanda Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, mewakili industri, Abang Khalid menzahirkan penghargaan atas insentif serta bantuan yang diberikan kerajaan dalam usaha kita memulihkan perniagaan yang terjejas termasuklah PENJANA iaitu Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan Jun lalu, yang mana cukai jualan dipotong dari 10 peratus menjadi 5 peratus, sehingga 31 Disember ini.
“Mengikut jumlah jualan kenderaan import pada April lalu, ketika PKP baru-baru dilaksanakan, menyaksikan penurunan penjualan kenderaan sebanyak 92 peratus berbanding jualan pada bulan Mac,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, katanya Mei ada menyaksikan peningkatan sebanyak 79 peratus diikuti bulan Jun dan Julai yang mana juga mencatatkan kenaikan hampir mencecah 90 peratus.
“Peningkatan ini adalah satu petanda positif bagi ahli-ahli syarikat PEKEMA, amnya dan ekonomi negara, khasnya,
“PEKEMA amat berharap keadaan ini akan terus berkekalan malah lebih baik berbanding sebelum ini pada ketika kita menghadapi gelombang Covid-19 yang memaksa semua perniagaan terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi mengekang penularan wabak tersebut,” tegasnya.
Malahan, Abang Khalid percaya pemulihan perniagaan penjualan kenderaan import ini turut dipengaruhi oleh bantuan yang kita terima daripada PUSPAKOM yang memberi laluan bagi mempercepatkan pemeriksaan kenderaan.
Oleh Diyana Samsuddin