KUCHING: Lampu isyarat pintar bernilai RM746,000 di simpang empat Lorong Matang Jalan Depo, sudah mula beroperasi semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kewujudan lampu isyarat pintar itu telah menyelesaikan keluhan pengguna jalan raya berkaitan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
Katanya lagi, pembinaan lampu isyarat menerusi projek rakyat ini adalah salah satu usaha untuk mengelak seberang risiko berlakunya perkara yang tidak diingini di simpang berkenaan.
“Susulan daripada aduan yang diterima berhubung kesesakan dan keadaan yang berbahaya di kawasan terbabit, saya terus menghubungi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk mengemukakan masalah berkenaan.
“Bertindak atas maklumat tersebut, DBKU telah menjalankan siasatan dan lawatan ke kawasan berkenaan, menyediakan pelan projek serta mencari peruntukan untuk melaksanakan projek itu,” katanya, ketika ditemui media selepas melancarkan lampu isyarat tersebut.
Sementara itu, Fazzrudin turut mendedahkan bahawa Jalan Matang kini sedang dalam proses dinaik taraf dan dibesarkan daripada dua lorong kepada empat lorong.
Jelasnya, projek ini dijangka dapat menangani masalah kesesakan lalu lintas di Bulatan E-mart Matang setelah ia siap sepenuhnya nanti.
“Justeru itu, saya bersama-sama Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petrajaya, telah mengemukakan permohonan kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mewujudkan satu lagi jalan bawah (under pass) di bulatan berkenaan.
“Pembinaan jalan bawah ini diyakini dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di kawasan Matang, terutamanya, pada waktu puncak,” ujarnya.
Mengulas berkenaan perancangaan menjelang tahun hadapan, beliau memaklumkan terdapat banyak projek yang bakal dilaksanakan di sekitar kawasan Tupong.
“Kita akan gunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM5 juta untuk tujuan menaik taraf surau, jalan, parit dan sebagainya.
“Ini kerana kita hendak memberikan keselesaan di samping menjamin keselamatan kepada penduduk di kawasan saya ini,” jelasnya lagi.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP