BINTULU: Lampu glob di Dewan Suarah Bintulu mengalami kerosakan akibat vandalisme apabila kabel dicuri dan komponen dalam kotak sambungan rosak.
Menurut satu kenyataan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), kejadian itu menyebabkan pencahayaan di kawasan tersebut terhenti, sekali gus menjejaskan keselamatan dan keindahan kawasan yang menjadi tumpuan ramai.
“Lampu ini dipasang untuk mencantikkan dan memastikan keselamatan kawasan ini untuk semua, tetapi kini tidak dapat berfungsi sehingga diberitahu kelak.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk membaiki kerosakan ini dan memulihkan lampu tersebut secepat mungkin, tetapi ia akan mengambil sedikit masa,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, BDA turut meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan berkaitan kejadian tersebut bagi membantu siasatan.
“Jika ada sesiapa yang melihat perkara mencurigakan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini, sila laporkan kepada kami.
“Mari kita bersama-sama melindungi dan menjaga kawasan ini untuk kepentingan semua,” katanya.