FRANK Lampard meminta Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memberi Chelsea permulaan yang adil untuk musim depan, dengan berkata tarikh pelancaran 12 September adalah ‘terlalu awal’ bagi para pemainnya.
The Blues tewas dalam final Piala FA Sabtu lalu 2-1 kepada saingan London, Arsenal tetapi masih belum selesai dengan kempen semasa.
Pasukan Lampard akan menentang Bayern Munich pada Ahad dalam perlawanan kedua pusingan kedua Liga Juara-Juara UEFA yang dijadualkan semula, dengan mereka ketinggalan 3-0 daripada perlawanan pertama.
Walaupun mereka tersingkir daripada persaingan, Chelsea hanya mempunyai 35 hari sebelum musim baru dimulakan.
Manchester City juga masih dalam Liga Juara-Juara, dimana final dijadualkan pada 24 Ogos, sementara Manchester United dan Wolves terlibat dalam Liga Europa, yang berakhir pada 22 Ogos.
Difahamkan, ketika kelab Liga Perdana Inggeris bersetuju dengan tarikh permulaan 12 September, ia juga jelas bahawa perlu ada sekurang-kurangnya 30 hari rehat untuk Chelsea dan mana-mana pasukan lain yang bermain dalam pertandingan akhir musim Eropah.
Lampard kehilangan Willian dan Ruben Loftus-Cheek menjelang final Piala FA kerana kecederaan dan Cesar Azpilicueta dan penjaring gol Christian Pulisic semasa perlawanan kerana mengalami masalah ‘hamstring’.
“Walaupun dalam senario terburuk, kami tidak melepasi halangan Bayern, tarikh 12 September terasa terlalu awal bagi saya untuk pemain mula bermain lagi,” kata bos Chelsea itu.
“Pemain memerlukan rehat. Itulah sebabnya kami mengalami masalah dua hamstrings dan meminta pemain menarik diri daripada permainan sebelum ini.”
Lampard memohon Liga Perdana untuk memastikan kelab memulakan musim berikutnya dengan persaingan yang setara.
“Saya ingin menganggap Liga Perdana memandang serius perkara ini,” katanya.
“Mudah-mudahan mereka memberi kita permulaan yang baik musim depan. Kami layak mendapatkannya (diberi permulaan yang adil) sebagai kelab Liga Perdana yang bertanding dalam Liga Juara-Juara.” – AFP