
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menzahirkan rasa syukur kerana rakyat di negeri ini dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana harmoni, aman damai dan saling hormat-menghormati.
Beliau berkata berbanding negara luar yang sering mengalami pergolakan dan huru-hara serta keadaan kehidupan rakyat yang amat sukar, apatah lagi untuk menyambut sesuatu perayaan.
“Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat keamanan dan keharmonian yang dikecapi sejak sekian lama.
“Kepelbagaian perayaan yang disambut meriah oleh rakyat Sarawak menjadi lambang keunikan negeri ini bahkan Malaysia dalam menyemai semangat perpaduan masyarakat.
“Maka itu, kita wajib mempertahankan perpaduan ini di samping memperkukuhkannya lagi dengan menepis perbezaan kaum dan agama agar dapat diwarisi oleh generasi pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kata Chee Kadir, rakyat di negara ini harus bersyukur dengan nikmat yang dikecapi pada selama ini yang mampu dikatakan lengkap baik dari aspek ekonomi, sosial, politik dan lain-lain perkara.
“Jika kita lihat pada hari ini, kita telah menyambut setiap perayaan yang diraikan oleh setiap kaum yang tinggal di negara ini dengan penuh aman dan harmoni.
“Dengan tiada kekangan, tiada perasaan ragu-ragu dan disambut dengan penuh meriah bagi setiap aktiviti yang diadakan, ia telah membuktikan bahawa perpaduan negara kita amat kukuh,” jelas Chee Kadir.
Tambahnya, nikmat yang sedemikian rupa seharusnya dipertahankan serta diperkukuhkan oleh semua pihak dengan menepis segala perbezaan agama dan kaum.
“Kita juga harus melapangkan minda kita dan melontar segala sikap dan perlakuan seperti dengki, iri hati, dan lain-lain perlakuan yang tidak senonoh harus ditinggal,” katanya.
Kata Chee Kadir lagi, semua amalan baik ini bukan hanya kita amalkan pada bulan suci sahaja tetapi harus harus diamalkan pada sampai bila-bila masa, khususnya dalam kita menjalani kehidupan seharian dan tinggal dalam komuniti pelbagai bangsa dan agama.
Oleh Adi Safarman