
KUCHING: Laluan domestik baharu AirBorneo yang menghubungkan bandar utama Sarawak seperti Miri, Bintulu dan Sibu dijangka diperkenalkan selepas syarikat penerbangan itu menerima tambahan pesawat dalam tempoh akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, pembukaan laluan baharu bergantung kepada pertambahan armada yang membolehkan syarikat meningkatkan kekerapan penerbangan serta memperluaskan rangkaian destinasi.
“AirBorneo akan memulakan operasi jet pada 20 Julai 2026 dengan memperkenalkan dua pesawat Boeing 737-800 melalui pajakan basah (wet lease) sebagai permulaan, sebelum menerima tambahan pesawat menjelang akhir tahun ini.
“AirBorneo seterusnya akan berkembang daripada dua pesawat pada tahun ini kepada lima pesawat menjelang akhir tahun depan.

“Apabila kami mempunyai tambahan pesawat, ketika itu kami akan melancarkan laluan baharu. Antara yang kami lihat ialah destinasi domestik dalam Sarawak seperti Miri, Bintulu dan Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab meja bulat AirBorneo bersama media di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Megat Ardian berkata AirBorneo turut melihat potensi memperkukuh hubungan udara antara Sarawak dan Sabah sebagai sebahagian daripada pengembangan rangkaian domestik.
“Tambahan pesawat juga akan membolehkan AirBorneo meningkatkan kekerapan penerbangan bagi laluan yang mempunyai permintaan tinggi,” jelasnya.
Sementara itu, Megat Adrian berkata penerbangan ke Singapura dijangka dimulakan tidak lama selepas pelancaran laluan Kuala Lumpur sekiranya semua proses akhir berjalan lancar.

“AirBorneo kini sedang memuktamadkan beberapa perkara bersama Lapangan Terbang Changi termasuk ujian operasi sebelum tarikh rasmi penerbangan diumumkan.
“Di Singapura, kami sudah mendapat kelulusan dan hak trafik udara.
“Kami hanya memuktamadkan beberapa perkara terakhir bersama Lapangan Terbang Changi dan ia dijangka dilaksanakan pada akhir Julai,” katanya.
Untuk rekod, pajakan basah bermaksud bagi beberapa pesawat untuk memenuhi permintaan penumpang sementara menunggu ketibaan pesawat baharu. Pesawat itu dikendalikan menerusi sewaan basah (ACMI), iaitu pesawat disediakan bersama kru, penyelenggaraan dan perlindungan insurans.
Oleh Masrin Affirah