SPAOH: Penduduk Rumah Panjang Bangkit Rembai Asal kini menikmati laluan belakang yang lebih baik dan selesa selepas projek naik taraf jalan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 berjaya disiapkan sepenuhnya.
Sebelum ini, laluan berkenaan belum bersambung sepenuhnya dengan jalan di bahagian hadapan rumah panjang, selain terdapat beberapa bahagian permukaan yang mengalami keretakan dan menjejaskan keselesaan pengguna.
Menerusi projek itu, laluan berkenaan kini dilengkapi permukaan berturap, selain sistem saliran turut dipertingkatkan melalui pembinaan parit konkrit yang disambungkan kepada parit sedia ada serta pemasangan culvert simen bagi memastikan aliran air lebih lancar.

Projek berkenaan telah disiapkan sepenuhnya mengikut spesifikasi dan jadual pelaksanaan ditetapkan, sekali gus melengkapkan kemudahan infrastruktur asas yang diperlukan penduduk rumah panjang.
Sesi serah siap yang berlangsung semalam turut dihadiri wakil Pejabat Residen Bahagian Betong, JKR Bahagian Betong, Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Tuai Rumah Lium, wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban serta wakil kontraktor Syarikat Wan Taha.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pelaksanaan projek RTP memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan asas yang memberi impak secara langsung terhadap kehidupan masyarakat luar bandar.
“Kita mahu setiap projek yang dilaksanakan benar-benar menjawab keperluan penduduk. Penambahbaikan laluan dan sistem saliran seperti ini penting untuk memastikan kemudahan asas di rumah panjang terus berada dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut berharap penduduk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan kemudahan yang disediakan terus dipelihara untuk kegunaan jangka panjang.
“Kemudahan ini adalah untuk kegunaan bersama. Saya berharap penduduk dapat menjaganya dengan baik supaya terus berfungsi dan memberi manfaat untuk jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Lium menzahirkan rasa puas hati terhadap hasil pelaksanaan projek berkenaan, selain merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan kerajaan Sarawak atas peruntukan RTP 2026.
Dengan siapnya projek tersebut, laluan belakang kini bersambung dengan jalan di bahagian hadapan rumah panjang, manakala sistem saliran yang ditambah baik membantu mengurus aliran air dengan lebih berkesan.
Naik taraf berkenaan bukan sahaja memperbaiki akses penduduk, malah mewujudkan persekitaran rumah panjang yang lebih selesa, teratur dan selamat untuk komuniti Bangkit Rembai Asal.
Oleh Adi Safarman




