SIBU: Kerajaan Sarawak kini giat melaksanakan projek peningkatan bekalan air di Loji Rawatan Air Salim untuk mengatasi cabaran permintaan air yang melebihi kapasiti bekalan.
Projek ini dijangka mengambil masa dua tahun dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2026.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kelvin Lau, menyatakan usaha ini akan membantu meningkatkan tekanan air di pelbagai kawasan serta mengurangkan kesulitan penduduk dalam mendapatkan bekalan air yang mencukupi.
“Kerajaan sangat prihatin terhadap isu kesejahteraan rakyat, khususnya berkaitan bekalan air. Kami akan memastikan semua perancangan dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pengagihan makanan sempena Tahun Baharu Cina anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan Sungai Parah di Kampung Tengah dan Kampung Hilir, pagi tadi.
Dalam ucapannya, beliau turut menggesa penduduk untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan komuniti setempat demi mempercepatkan pembangunan kawasan masing-masing.
Mengenai program pengagihan makanan tersebut, Kelvin Lau melahirkan penghargaan kepada penduduk yang hadir dengan semangat tinggi walaupun dalam keadaan hujan.
“Tujuan aktiviti ini adalah untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan komuniti dan memulakan tahun baharu dengan langkah yang positif. Dalam tradisi masyarakat Cina, permulaan yang baik melambangkan tahun yang penuh keberkatan dan keamanan,” katanya.
Beliau turut berharap agar tahun baharu ini membawa kesejahteraan kepada semua, dengan limpahan rezeki, keamanan, dan kemajuan untuk negara serta rakyat.
Oleh Tarani Lanting