Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Laksa Sarawak julang emas di pentas antarabangsa
  • TEMPATAN

Laksa Sarawak julang emas di pentas antarabangsa

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng ketika berucap pada sidang media MasterChef of Foodex 2026 di sini, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Hidangan tradisi negeri, Laksa Sarawak sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila meraih pingat emas dalam pertandingan MasterChef of Foodex 2026 di Ho Chi Minh City, Vietnam, sekali gus mengharumkan nama Sarawak di persada dunia.

Kejayaan tersebut dicapai menerusi sentuhan Chef Iana Akam dari Fairy Tavern yang berjaya menambat hati juri antarabangsa dengan persembahan laksa yang mengekalkan keaslian rasa serta keseimbangan rempah ratus beridentitikan tempatan.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan, malah memperkukuh kedudukan Laksa Sarawak sebagai warisan kulinari yang berpotensi diketengahkan ke peringkat global.

CHEF Lana Akam yang memenangi pingat emas mempersembahkan Laksa Sarawak pada pertandingan MasterChef of Foodex 2026 di Ho Chi Minh City, Vietnam. Foto Adele Rissa

“Apabila kita bercakap tentang Kuching, kita tidak dapat lari daripada makanan kerana ia mencerminkan identiti dan budaya kita,” katanya pada sidang media berkaitan pertandingan tersebut, hari ini.

Menurut beliau, penyertaan delegasi chef dari Kuching dalam pertandingan berkenaan turut membuahkan hasil memberangsangkan apabila berjaya meraih beberapa lagi anugerah dalam kalangan sekitar 400 peserta dari dalam dan luar negara.

Selain pingat emas menerusi Laksa Sarawak, Chef Janncy Nyohim turut menyumbang pingat gangsa hasil inovasi nasi lemak yang menggabungkan bahan tempatan seperti bunga kantan dan beras tradisional, sekali gus memperlihatkan perkembangan kreatif dalam masakan tempatan tanpa mengabaikan nilai warisan.

BARISAN chef dari Kuching merakam kenangan selepas mencatat kejayaan dalam pertandingan MasterChef of Foodex 2026. Foto Adele Rissa

Dalam pada itu, dua chef dari Little Fairy Cafe, Chef Nicky Nelson dan Chef Robbie Richard Balcarek masing-masing meraih pingat perak, manakala pasukan Kuching turut memenangi pingat perak dalam kategori berkumpulan, mencerminkan kekuatan kerjasama dalam komuniti kulinari tempatan.

Sementara itu, Chef Benny Huang dan Wilson Voon masing-masing turut membawa pulang pingat perak, manakala Chef Ronald Bong mencatat satu pingat gangsa dan satu pingat perak.

Kejayaan berkenaan turut diserlahkan dengan penglibatan wakil Sarawak sebagai juri antarabangsa apabila Chef Jordan dan Chef Julian Lai dijemput mengadili pertandingan tersebut, sekali gus mencerminkan pengiktirafan terhadap kepakaran kulinari negeri ini.

Dato Wee menegaskan pencapaian tersebut mengukuhkan lagi reputasi Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO serta membuka lebih banyak peluang untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan Sarawak ke peringkat antarabangsa.

Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada semua chef yang terlibat dan berharap kejayaan itu dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang kulinari sebagai kerjaya masa depan.

Tambahnya, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan terus menyokong pembangunan sektor gastronomi kerana makanan bukan sahaja berkait dengan cita rasa, malah mencerminkan budaya dan mampu menjana peluang ekonomi.

Oleh Adele Rissa 

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sektor pertanian catat sumbangan RM15.1 bilion KDNK Sarawak
Next: Pes laksa Sarawak lambang keaslian di pentas antarabangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.